Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes imam Nalla boleh dijadikan rujukan cara tangani isu sensitif di masa depan

Dua pengamat politik yang kami temui berkata kes Imam Nalla boleh dijadikan rujukan masa depan, sebagai cara menangani isu-isu sensitif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dua pengamat politik yang kami temui berkata kes Imam Nalla boleh dijadikan rujukan masa depan, sebagai cara menangani isu-isu sensitif.

Ini, memandangkan Singapura mengamalkan dasar pintu terbuka dan masyarakatnya majmuk pula.

Pengamat-pengamat yang kami temui akur, banyak yang boleh dipelajari bersama.

Antaranya, usah bersikap emosi, perlu beradab dalam berwacana atau mengeluarkan idea, serta faham akan sentimen masyarakat lain dalam kehidupan di negara berbilang kaum dan agama, Singapura.

Usaha Imam Nalla memohon maaf kepada para pemimpin berbilang agama, termasuk ke sinagog, menurut mereka selaras dengan semangat perpaduan silang agama yang sekian lama dipatri.

"Usaha-usaha yang dilakukan oleh organisasi seperti IRO – melakukan dialog silang agama, mereka sering melakukan lawatan-lawatan ini ke tempat-tempat ibadah agama-agama lain. Bukan sekadar untuk bertukar-tukar pemahaman, tapi juga untuk mengapresiasi ataupun memahami lebih mendalam lagi apakah nilai-nilai agama yang dijalankan. Jadi dengan berlakunya kes ini, sudah ada macam satu cetakan, di mana solusinya adalah untuk mendapatkan pemimpin-pemimpin tersebut bersatu-padu untuk memahami isu sebenarnya," menurut Zamil ISEAS-Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat.

"Saya rasa ini satu langkah yang baik untuk menampilkan bahawa beliau jujur dalam meminta maaf dalam isu ini. Dan saya rasa ini agak penting juga kerana daripada perspektif pengikut agama-agama lain, ini adalah satu perkara yang penting dari perspektif mereka," kata Penolong Profesor Institut Pertahanan dan Pengajian RSIS, Dr Mohd Nawab Mohd Osman.

Memandangkan profil penduduk yang semakin kompleks dan dasar pintu terbuka negara, bagaimanakah kes ini boleh digunakan sebagai petunjuk untuk meleraikan konflik-konflik yang mungkin berlaku pada masa depan?

"Saya rasa agak penting mungkin untuk pemerintah mengendalikan seminar ataupun kursus kepada ustaz-ustaz, imam-imam dan juga paderi-paderi dan kepimpinan keagamaan di Singapura, jadi mereka memahami apakah mungkin parameter-parameter masyarakat majmuk berbilang agama, apa yang boleh mereka katakan, apa yang tidak boleh mereka katakan dalam pengajaran keagamaan," Dr Mohd Nawab memberitahu BERITAMediacorp.

"Satu lagi iktibar yang perlu kita fikirkan di sini adalah bagaimana kita berkongsi maklumat di ruang siber. Setiap pandangan peribadi itu boleh dibaca dan boleh disebarkan. Dan kadang kala ia berunsur fitnah dan berpotensi mengapi-apikan sentimen perkauman dan sebagainya.

"Jadi di sini kita perlu berhati-hati apabila kita menggunakan media sosial, terutama sekali jika seseorang itu boleh dianggap sebagai seorang yang berpengaruh dalam masyarakat, yang mempunyai ramai pengikut," ujar Dr Norshahril. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan