Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kes HIV, AIDS di kalangan Melayu catat trend merosot, 963 Melayu hidap AIDS sejak 3 dekad lalu

Jumlah kes jangkitan HIV dan AIDS di kalangan orang Melayu Singapura, menyaksikan trend merosot sejak tiga tahun lalu, iaitu antara 2013 dengan 2015.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah kes jangkitan HIV dan AIDS di kalangan orang Melayu Singapura, menyaksikan trend merosot sejak tiga tahun lalu, iaitu antara 2013 dengan 2015.

Ini berbanding peningkatan yang dicatatkan beberapa tahun sebelum itu.

Bagaimanapun, badan bertindak untuk AIDS atau Action for AIDS (AFA) menegaskan, orang Melayu masih merupakan kumpulan berisiko tinggi. Ini kerana jumlah orang Melayu yang dijangkiti adalah lebih tinggi berbanding nisbah penduduk Melayu di sini.

Menurut perangkaan Kementerian Kesihatan (MOH), seramai 319 penduduk dijangkiti HIV dalam 10 bulan pertama tahun ini. Data terbaru itu didedahkan bersamaan dengan Hari Aids Sedunia Khamis lalu (1 Dis).

KES HIV/AIDS DI KALANGAN ORANG MELAYU MEROSOT DARI 2013 HINGGA 2015

Mengimbas perkembangan HIV/AIDS sejak tiga dekad lalu, jumlah orang Melayu yang dijangkiti adalah 963, iaitu membentuk 13.5 peratus daripada keseluruhan jumlah kes jangkitan di Singapura.

Meneliti trend sejak lima tahun kebelakangan ini pula, kadar jangkitan di kalangan orang Melayu meningkat daripada 15.6 peratus pada 2010 dan terus meningkat kepada 20.7 peratus pada 2013.

Namun pada 2015 ia merosot kepada 72 kes, membentuk 15.8 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan.

Kemerosotan antara 2013 dengan 2015 boleh dianggap sebagai petanda yang baik.

Dr Zuraimi Dahlan dari Klinik Keluarga Banyan berpendapat, ia mungkin disebabkan oleh pengetahuan dan kesedaran lebih mendalam di kalangan masyarakat mengenai cara-cara HIV boleh dijangkiti.

Namun Pengurus kanan AFA, Encik Anwar Hashim berkata, kemeroston itu mungkin tidak memberi gambaran sepenuhnya tentang situasi AIDS di kalangan orang Melayu.

Tambahan lagi, kadar 15.8 peratus sebenarnya adalah lebih tinggi daripada nisbah penduduk Melayu di Singapura iaitu sekitar 13 peratus.

"72 orang yang dilaporkan dalam statistik itu menunjukkan orang yang mendapat rawatan di Singapura. Ada lagi yang belum pernah menjalani ujian dan kerana itu tidak termasuk dalam statistik ini. Dari segi jumlah penduduk Singapura, Melayu membentuk kurang 13 peratus, jadi dari itu kami masih dalam lingkungan risiko yang tinggi.

"Kami berharap, setiap orang yang berisiko tinggi harus menjalani ujian HIV setiap enam bulan. Apa lagi, di kalangan masyarakat kita, perlindungan menggunakan kondom tidak dibincangkan oleh masyarakat atau institusi pendidikan secara terbuka," kata beliau.

MASIH WUJUD SALAH TANGGAPAN MENGENAI HIV/AIDS

Menurut Encik Anwar, pihaknya menganjurkan pelbagai kempen yang dikhususkan untuk mendekati masyarakat Melayu misalnya menerusi karnival keluarga sejak 2009, tetapi ia kurang mendapat sambutan.

Maka itu, AFA kini mengalihkan tumpuan kepada usaha menggalakkan ujian secara tetap.

Namun Dr Zuraimi Dahlan dari Klinik Keluarga Banyan berkata masih ada orang-orang berisiko yang beranggapan mereka tidak perlu menjalani ujian.

"Ada yang bertanggapan bahawa sudah bersama dengan orang luar dua, tiga tahun, beliau sudah rasa bersih. Sudah tidak ada masalah ini. Ini salah tanggapan. Kadang-kadang HIV ini lama dalam badannya sampai lima hingga lapan tahun baru HIV keluar. Jadi untuk kepastian anda perlu ambil darah," katanya.

AFA HARAPKAN LEBIH BANYAK KERJASAMA DENGAN PERTUBUHAN MASYARAKAT

Menurut MOH, daripada 206 kes baru yang dianalisa dalam enam bulan pertama tahun ini, kurang 30 peratus orang dikesan menerusi ujian HIV secara sukarela.

Stigma yang masih kuat di dalam masyarakat dibimbangi menghambat mereka yang berisiko daripada tampil ke hadapan untuk menjalani ujian, seperti yang dijelaskan Encik Anwar.

"Kami berharap lebih banyak kerjasama diadakan untuk mendidik masyarakat umum seperti pertubuhan masyarakat agar mereka kurang menghakimi dan menambah stigma. Dan mereka tidak boleh hanya bercakap tentang moraliti dan kelakuan kerana kita mesti berdepan dengan realiti sebenar."

Encik Anwar menambah, dengan penerimaan dan sikap memaafi, masyarakat boleh melangkah ke hadapan untuk menangani isu HIV dengan lebih berkesan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan