Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kerja peningkatan, tindakan Iran dilihat antara faktor jemaah haji berkurangan

Jumlah jemaah yang menunaikan ibadah haji tahun ini adalah yang paling rendah dalam masa 10 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah jemaah yang menunaikan ibadah haji tahun ini adalah yang paling rendah dalam masa 10 tahun.

Selain kerja-kerja peningkatan Masjidil Haram yang masih belum siap sepenuhnya, tindakan pemerintah Iran memulau dan mengharamkan warganya daripada menunaikan haji tahun ini dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada jumlah jemaah yang berkurangan.

Namun jumlah jemaah haji dan umrah dijangka bertambah dengan banyaknya mulai 1 Muharram ini apabila fasa terakhir perluasan Masjidil Haram siap kelak.

Dari kemuncak lebih tiga juta jemaah haji iaitu yang paling ramai pada 2012, tahun ini hanya 1.86 juta jemaah menjalankan rukun Islam kelima itu.

Mereka terdiri daripada 1.33 juta jemaah warga asing dan sekitar 537,000 penduduk Arab Saudi sendiri.

Pihak berkuasa Saudi sebelum ini mengumumkan potongan 20 peratus pada kuota haji kerana projek perluasan Masjidil Haram yang belum siap.

MASIH ADA KERJA-KERJA PERLUASAN YANG BELUM SIAP

Meskipun bangunan struktur Masjidil Haram yang dibesarkan sudah siap, masih ada permukaan luar bangunan masjid itu yang belum selesai disiapkan.

Misalnya kawasan mataf sekeliling Kaabah sudah selesai diluaskan tetapi bahagian tangga dan permukaan dinding masih belum jadi dan para jemaah yang memasuki Masjidil Haram dari lantai dasar, perlu turun tangga bergerak untuk sampai ke lantai besmen yang juga menempatkan Kaabah.

Selain lantai paling bawah untuk bertawaf, kini terdapat lantai satu di dalam masjid yang dijadikan tempat alternatif untuk bertawaf juga.

Namun lantai di bahagian satu dan bumbung masjid masih belum dipasang jubin atau marmar seperti lantai asal masjid sebelum ini.

Fasa terakhir kerja-kerja perluasan Masjidil Haram itu dijangka selesai menjelang hujung tahun ini.

Tetapi apa yang pasti, jumlah jemaah yang boleh tawaf sekarang sudah bertambah daripada 40,000 orang sebelum ini kepada lebih 100,000 sekarang.

TIDAK DIBENAR BERTAWAF SEJAM SEBELUM, SELEPAS SOLAT WAKTU

Namun dalam usaha mengelakkan kesesakan, peraturan yang tidak membenarkan mereka bertawaf sejam sebelum dan sesudah solat waktu, mula diperkenalkan kali ini.

Seorang jemaah haji Singapura tahun ini, Fatimah Mohd, berkata: "Kalau dulu semasa saya pergi umrah, ditutup agak lambat sedikit tetapi sekarang ditutup lebih awal, dari satu jam hingga satu jam setengah sebelum waktu sembahyang, kita dah tak boleh masuk. Kebaikannya ialah, jemaah kena datang lebih awal, kalau jemaah terlambat tiada harapan untuk masuk, jadi kena sembahyang di luar masjid."

75 LAYAR GERGASI BAGI SEBAR MAKLUMAT

Di luar Masjidil Haram, 75 layar gergasi juga dipasang untuk menyebarkan maklumat seperti bila pintu masjid akan ditutup.

Pengarah Primula Travel, Zainal Abidin Maidin, berkata: "Tempat semakin bagus, semakin moden dan sebagainya dan lebih selesa. Di Makkah dan Madinah juga lebih selesa tetapi di Arafah, Mina sama saja tempatnya. Tempat kecil untuk menampung berjuta-juta orang memang susah."

LANGKAH ELAK REMPUHAN

Untuk mengelakkan berlakunya rempuhan, para jemaah haji juga tidak dibenarkan melontar jamrah pada waktu-waktu sibuk pada hari pertama, kedua dan ketiga hari Tasyriq.

Pengarah urusan Jalaluddin Travel, Ustaz Jalaluddin Hassan, berkata: "Jadi kami mungkin tak dapat memahami sebenarnya apa tujuan mereka sebenarnya menutup sampai sekitar empat jam. Tapi kami yakin pasti ada sebab yang munasabah yang membuat mereka berubah waktu melontar jamrah ini."

Ada juga yang berpendapat ia terbit daripada kejadian rempuhan yang meragut nyawa lebih 700 jemaah haji tahun lalu, majoritinya warga Iran. Itulah antara sebab Iran memulaukan musim haji kali ini.

Namun pihak berkuasa Saudi menyasarkan lima juta jemaah haji menjelang 2020. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan