Images
  • cte smoke
    Petikan skrin daripada video yang menunjukkan kepulan asap keluar dari terowong CTE. (Gambar: Wong Lai Han)

Kereta terbakar di terowong CTE, jalan susur keluar Havelock Rd ditutup

SINGAPURA: Sebuah kereta terbakar di terowong Chin Swee di Lebuh Raya Tengah (CTE) pada petang Sabtu (12 Ogos) sehingga menyebabkan jalan susur keluar Havelock Road ditutup sementara untuk sekurang-kurangnya lima jam.

Dalam satu tweet pada 6.00 petang, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberi amaran mengenai kemalangan di terowong CTE menghala ke Lebuh Raya Ayer Rajah di jalan susur keluar Havelock Road dan menambah bahawa jalan susur keluar itu ditutup.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia dimaklumkan mengenai insiden itu sekitar 6.00 petang dan mengerahkan sebuah kereta bomba, dua motosikal bomba, tiga red rhino, sebuah ambulans dan dua kenderaan sokongan.

SCDF menambah bahawa kebakaran itu, yang melibatkan sebuah kereta, dipadamkan dengan menggunakan jet air. Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

Dalam satu catatan Facebook pada 6.53 petang, polis menyatakan kereta itu terbakar disebabkan satu kemalangan jalan raya. Menurut catatan terakhirnya di Facebok pada 11.11 malam, jalan susur keluar itu sudah dibuka semula dan semua lorong jalan raya boleh dilalui kenderaan.

Sebuah video yang dikirimkan kepada Mediacorp menunjukkan kepulan asap hitam keluar dari terowong tersebut pada sekitar 6.15 petang.

- CNA/RU/ru

Top