Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kencing manis krisis kesihatan masyarakat Melayu, kata PM Lee

Ini sedang beliau menggalak rakyat Singapura supaya lebih banyak bersenam, melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap dan menjaga pemakanan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Kencing manis krisis kesihatan masyarakat Melayu, kata PM Lee

Seorang wanita menjalani ujian darah. (Gambar: REUTERS/Joshua Roberts)

Diterbitkan : 20 Aug 2017 11:06PM Dikemas Kini : 21 Aug 2017 12:52AM

SINGAPURA: Separuh daripada masyarakat Melayu bagi golongan yang berusia lebih 60 tahun menghidap penyakit kencing manis.

Jika dibandingkan dengan kaum lain, 2.5 daripada 10 orang Cina yang berusia lebih 60 tahun menghidap kencing manis, manakala enam daripada 10 orang India dalam golongan usia itu menghidap penyakit tersebut.

Kencing manis adalah "krisis kesihatan" bagi masyarakat Melayu dan India, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Hari ini, satu daripada sembilan rakyat Singapura menghidap kencing manis, sementara tiga daripada 10 yang berusia lebih 60 tahun menghidap kencing manis.

Encik Lee memberikan gambaran itu mengenai keadaan kencing manis di Singapura semasa menyampaikan ucapan di Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau hari ini (20 Ogos).

Beliau menyentuh tentang penyakit kencing manis sebagai salah satu isu utama jangka panjang Singapura semasa ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau di Kolej Tengah Instititut Pendidikan Teknikal di Ang Mo Kio.

Dalam ucapan bahasa Melayunya, Encik Lee menyuarakan keprihatinan bahawa 17 peratus orang Melayu di Singapura menghidap kencing manis - dan satu sebabnya adalah masalah kegemukan, satu masalah yang lebih ketara di kalangan masyarakat Melayu.

Beliau menambah bahawa pertubuhan Melayu/Islam sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menyebarkan mesej mengenai kencing manis.

Ini sedang beliau menggalak rakyat Singapura supaya lebih banyak bersenam, melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap dan menjaga pemakanan mereka.

Bagi menekankan mesejnya itu, Encik Lee membuat satu tinjauan dengan para penonton bagi menguji pengetahuan mereka tentang jangka hayat dan mendedahkan bahawa walaupun rakyat Singapura hidup sehingga 82 tahun secara purata, mereka mengalami masalah kesihatan selama lapan tahun secara purata semasa usia senja.

Dalam ucapan bahasa Mandarinnya, Encik Lee berkata selepas mendengar Amanat Hari Kebangsaan beliau, ramai mungkin menanyakan Perdana Menteri mengapa beliau menyentuh tentang kencing manis semasa NDR. Beliau memberikan jawapannya.

"Ini kerana masih ramai yang belum bimbang, sedangkan saya amat bimbang mengenainya. Ramai orang masih belum menganggap kencing manis sebagai satu masalah yang serius."

Kencing manis boleh membawa kepada masalah penglihatan, masalah jantung dan buah pinggang dan mungkin memerlukan para pesakit mengudungkan anggota tubuh mereka bagi menyelamatkan nyawa mereka, kata Encik Lee dalam ucapan bahasa Mandarin beliau.

Secara purata sekitar 1,200 pesakit menjalani amputasi anggota tubuh setiap tahun di Singapura.

LEBIHKAN BERSENAM, KERAP JALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN, NASIHAT PM LEE

Encik Lee menyarankan agar rakyat Singapura mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menggesa mereka menjalani pemeriksaan kesihatan dengan lebih kerap supaya mereka tahu mereka menghidap kencing manis atau berisiko menghidapinya.

Beliau mengingatkan rakyat Singapura bahawa mulai bulan depan, akan ada yuran pemeriksaan kesihatan sama rata sebanyak S$5 bagi mereka yang berusia lebih 40 tahun berbanding harga biasa yang melebihi S$100.

Encik Lee juga menyarankan agar rakyat Singapura lebih banyak bersenam sambil menarik perhatian bahawa cara paling mudah adalah dengan "berjalan lebih jauh setiap hari" dan mengamalkannya dalam rutin seharian mereka.

Sebagai contoh, mereka boleh berjalan kaki berbanding menaiki bas atau turun di stesen kereta api sebelumnya dan berjalan pulang ke rumah.

Mereka juga boleh menggunakan tangga berbanding menaiki lif - sesuatu yang dilakukan Encik Lee di pejabat beliau setiap hari.

Seiring dengan mesejnya, setiap orang di NDR menerima alat pengesan jejak daripada Lembaga Penggalakan Kesihatan bagi membantu mereka berjalan 10,000 langkah setiap hari seperti yang disarankan oleh para doktor.

MAKAN, MINUM LEBIH SIHAT PENTING DALAM BANTERAS KENCING MANIS

Encik Lee juga menyarankan supaya rakyat Singapurea menjaga pemakanan dan mengurangkan minuman bergas.

Rakyat Singapura menambah berat badan kerana mereka makan berlebihan, kata beliau.

Dua dekad lalu, rakyat Singapura memakan 2,100 kalori setiap hari iaitu dalam lingkungan jumlah yang betul.

Menjelang 2004, ia meningkat kepada 2,400 kalori sehari, sama kepada dua cedokan aiskrim sehari.

Menjelang 2010, jumlah itu meningkat kepada 2,600 kalori, sama seperti tiga cedokan aiskrim dengan "toppings".

Encik Lee menggesa rakyat Singapura supaya memilih jamuan yang lebih sihat dengan kurang minyak, kurang gula dan kurang garam apabila makan di luar.

Apabila memasak di rumah, beliau menyarankan perubahan kecil seperti menggantikan beras biasa kepada beras ceruh atau beras campuran kerana beras biasa kurang baik bagi mencegah kencing manis kerana ia mengandungi indeks glycemic yang tinggi (GI), satu ukuran kesan makanan pada gula dalam darah.

Kabinet menggunakan beras ceruh semasa jamuan tengah hari sebelum mesyuarat mingguan sejak Menteri Kesihatan pada masa itu, Khaw Boon Wan, menyarankannya.

Bagaimanapun, apabila mendapati beberapa Menteri tidak suka beras itu dan tidak makan sehingga pulang ke rumah, Encik Lee memikirkan untuk mencuba beras biasa dicampur dengan beras ceruh.

Selaras dengan mesejnya, NTUC FairPrice akan menawarkan diskaun dan tawaran khas bagi makanan sihat, termasuk beras ceruh, mulai esok hingga akhir bulan Ogos.

Menurut Encik Lee, Singapura menyaksikan jumlah kes kencing manis yang semakin meningkat di kalangan golongan muda, termasuk kanak-kanak. Inilah sebabnya mengapa di sekolah, kantin hanya boleh menjual minuman dengan kandungan gula kurang daripada enam peratus.

Bagaimanapun, ia tidak menghuraikan masalah itu kerana kanak-kanak boleh ke luar kawasan sekolah dan membeli minuman manis, kata Encik Lee.

Satu tin air bergas mengandungi lapan kiub gula - lebih banyak daripada apa yang diperlukan sehari. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan