Images
  • prime mover
    Sebuah kemalangan yang melibatkan kenderaan. (Gambar: Ministry of Manpower)

Kempen dilancar bagi cegah kemalangan berkaitan kenderaan di tempat kerja

SINGAPURA: Satu kempen yang bertujuan mencegah kemalangan berkaitan kenderaan di tempat kerja dilancarkan Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) hari ini (14 Sep).

Kempen Pandu Selamat, Kerja Selamat itu adalah fasa kedua daripada Kempen Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Kebangsaan dan ia memberikan tumpuan kepada keselamatan kenderaan.

Berucap kepada rakan industri di pelancaran kempen berkenaan, Menteri Negara Tenaga Manusia Sam Tan berkata Pemerintah berharap dapat meningkatkan kesedaran kepada isu utama keselamatan kenderaan seperti berhati-hati dengan titik buta atau 'blind spot' dan juga menggalak para majikan supaya mengambil inisiatif menjadikan tempat kerja lebih selamat.

Beliau juga menggesa syarikat-syarikat supaya memanfaatkan teknologi untuk membantu mengurangkan kesilapan manusia yang boleh menyebabkan kemalangan.

Menurut Encik Tan, kemalangan berkaitan kenderaan adalah punca utama kematian di tempat kerja dalam tempoh tiga tahun lalu.

Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, Majlis WSH menerbitkan sebuah video bagi menekankan isu titik buta kepada para pemandu dan pejalan kaki.

Video itu boleh ditonton di laman, Facebook dan YouTube WSH.

MOM juga akan melancarkan program Mengurus Keselamatan Kenderaan di Tapak Kerja pada bulan September untuk membimbing syarikat-syarikat tentang bagaimana untuk memperbaiki dan melaksanakan pelan-pelan pengurusan keselamatan trafik di tapak kerja. 

- CNA/RU/ru

Top