Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian 2 pemandu lori kontena: 2 syarikat didenda

Pemandu lori kontena Yeoh Lim Koon sudah berulang-kali memaklumkan tentang brek tangan yang rosak kepada majikannya, Woodlands Transport Service - namun tindakan untuk membaikinya ditangguhkan semata-mata untuk mendapatkan barang ganti yang lebih murah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian 2 pemandu lori kontena: 2 syarikat didenda

Lori kontena yang brek tangannya rosak. (Gambar: MOM)

Diterbitkan : 20 Jul 2017 11:48PM Dikemas Kini : 20 Jul 2017 11:50PM

SINGAPURA: Pemandu lori kontena Yeoh Lim Koon sudah berulang-kali memaklumkan tentang brek tangan yang rosak kepada majikannya, Woodlands Transport Service - namun tindakan untuk membaikinya ditangguhkan semata-mata untuk mendapatkan barang ganti yang lebih murah.

Pada 9 Oktober 2015, Encik Yeoh maut apabila lori kontena yang membawa barangan seberat 24 tan jatuh tergolek di lereng bukit di tapak kerja Telok Blangah.

Beliau mencuba untuk melompat masuk ke dalam kabin untuk menghentikan kenderaan itu namun malangnya terjatuh dan diseret oleh treler berkenaan.

Woodlands Transport Service didenda $130,000 di atas kematian Encik Yeoh, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menerusi satu kenyataan media hari ini (20 Jul).

Hasil siasatan menunjukkan tangki air dalam lori kontena itu bocor dan ia mungkin menjadi penyebab brek tangan rosak.

"Syarikat itu gagal membaiki brek tangan yang rosak pada lori kontena itu meskipun sudah beberapa kali dimaklumkan oleh pemandunya dan meletakkan nyawa pemandu itu dalam bahawa kerana membiarkan beliau terus memandu," menurut Pengarah Badan Pemeriksa Keselamatan dan Kesihatan Kerja, Chan Yew Kwong.

Siasatan itu mendedahkan bahawa syarikat tersebut tidak bersetuju dengan harga barang ganti dan memutuskan untuk mencari sendiri dari sumber lain.

Bagaimanapun, syarikat itu gagal untuk menjalankan tugas susulan berkaitan perkara itu dan juga kerosakan pada lori kontena itu tidak dibaiki, tambah MOM.

Dalam satu insiden berasingan, sebuah syarikat, Cummins Asia Pacific, didenda $80,000 di atas kematian salah seorang pemandu lori kontenanya, tambah MOM.

Pada 25 Mac, pemandu bernama Yu Hairuni, sedang membuat pusingan U di satu tanjakan di kawasan yang sesak di CWT Logistics Hub 3, apabila 'twist lock' yang tidak dikunci dengan betul menyebabkan kontena sepanjang 12 meter terlepas daripada treler dan tergolek ke atas bahagian kabin. Encik Yu meninggal dunia pada hari yang sama akibat kecederaan yang dialaminya.

Lori kontena di CWT Logistics Hub 3. (Gambar: MOM)

Cummins Asia Pasific didakwa kerana gagal memastikan keadaan untuk memandu selamat dan sejajar dengan Pelan Pengurusan Trafik di Tempat Kerja, menurut MOM.

Mengulas tentang kedua-dua kemalangan itu Encik Chan berkata: "Kemalangan-kemalangan itu boleh dicegah jika syarikat-syarikat tersebut tidak mengambil ringan keselamatan pekerja mereka.

"Tiada kos perniagaan yang dapat menggantikan nyawa yang hilang dan MOM akan memastikan syarikat-syarikat itu memahaminya sepenuhnya." 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan