Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga main peranan penting dalam pemulihan bekas penagih dadah

Badan-badan Melayu/Islam menekankan pentingnya peranan keluarga untuk membantu bekas penagih dadah pulih.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Badan-badan Melayu/Islam menekankan pentingnya peranan keluarga untuk membantu bekas penagih dadah pulih.

Namun sebahagiannya mendapati, wujud jurang kemahiran pada keluarga-keluarga ini.

Selain sokongan emosi dan kewangan, mereka kurang dilengkapi ilmu untuk membuat keputusan yang terbaik bagi anggota keluarga yang terlibat dengan dadah.

Wartawan BERITAMediacorp menemui seorang bekas pesalah dadah yang berjaya merubah hidupnya berkat sokongan keluarga.

DULU TERLIBAT DADAH, KINI PUNYAI 2 SYARIKAT

Ramli menghabiskan lebih sembilan tahun dalam tahanan kerana dadah dan jenayah lain.

Tetapi setelah keluar dari rumah peralihan tiga tahun lalu, beliau bertekad untuk berubah.

Baru-baru ini beliau memulakan tugas baru sebagai pegawai jagaan susulan di Rumah Peralihan Darul Islah.

Beliau juga mempunyai dua syarikat sendiri menyediakan khidmat sokongan perubatan kecemasan dan kiriman barangan.

Sokongan keluarga antara sebab kejayaannya hari ini.

"Bila sampai hari pertama Ramli di sini, keesokan harinya, ibu Ramli datang melawat Ramli seorang diri. Hari kedua yang Ramli nampak dia datang barulah Ramli sedar yang Ramli dah banyak menyusahkan dia kerana dengan keadaan dia dengan mata kurang awas melihat kaki tak kuat untuk berjalan. Itu yang membuat Ramli betul-betul kecewa dengan apa yang Ramli dah buat pada ibu Ramli," Ramli memberitahu BERITAMediacorp.

"Seperti Ramli, keluarganya faham, keluarganya tahu tapi tidak berapa ramai keluarga yang faham. Malahan banyak keluarga yang dah putus asa, dah hilang kepercayaan, dah tak ada lagi keyakinan dengan bekas penagih yang akan balik. Jadi dengan tidak ada kepakaran, tidak ada kepandaian, tidak ada kefahaman, maka si suami, si anak akan balik penjara dan sebagainya," kata Encik Sharif Mohd Yatim, Pengarah Eksekutif Rumah Peralihan Darul Islah.

KELUARGA KURANG TEGAS

Satu lagi jurang kemahiran katanya adalah anggota keluarga yang kurang mengamalkan ketegasan.

Sehingga mengikutkan segala kemahuan bekas penagih kerana takut akan kehilangan anggota keluarga yang disayangi itu sekali lagi.

Di samping itu, satu lagi masalah yang dihadapi keluarga penagih ialah masalah kewangan.

Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) menghulurkan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar Melayu/Islam yang ibu atau bapanya pesalah dadah atau bekas pesalah dadah.

"Sebenarnya wang yang kami hulurkan itu tidaklah berapa tinggi, sekadar $200 sehingga ke $2000 kepada anak-anak yang bersekolah tetapi apa yang kami dapati adalah wang pemberian kami itu amat diperlukan dan dihargai oleh keluarga-keluarga ini," menurut Setiausaha Kehormat HGEF Haslinda Putri Harun.

Sebuah lagi badan yang membantu penagih dadah ialah Pergas.

Program 'Insan Mukmin' dijalankan dengan 24 pesalah dadah dan sekarang pula, Pergas ingin menyebar luaskan mesej anti-dadah kepada seisi keluarga.

KEMPEN 'DADAH ITU HARAM'

Bersama beberapa badan seperti Mendaki, Safinah Institute dan kumpulan Bikers AID mereka akan berkumpul untuk menganjurkan kempen 'Dadah itu Haram" Ahad ini (30 Apr).

"Pada hari itu, selain menekankan bahawa dadah itu haram, tentang bahaya dadah itu, kami juga memberitahu apa kesannya kepada keluarga kamu, kempen itu akan dilancarkan pada tanggal 30 April, dan lanjutan daripada program insan mukmin ini akan diteruskan lagi untuk fasa kedua dan diharap fasa ketiga dan seterusnya," Eksekutif Pendampingan Dakwah Masyarakat Pergas 21, Ustaz Muhd Izzam Ahmad.

"Menangai masalah dadah perlu dibuat secara total. Kita perlu menyelesesaikan masalah keluarga kita perlu menyelesaikan masalah anak-anak di sekolah, kita perlu menyelesaikan cara anak-anak kita bersosial.
Kita juga perlu mendapatkan semua badan-badan Melayu supaya mereka bekerjasama dalam usaha ini.
AMP atau mana-mana badan lain pun tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini secara bersendirian. Kita perlukan kerjasama seluruh masyarakat supaya mereka dapat dibantu," Pengarah Eksekutif AMP, Mohd Anuar Yusop.

Sedang jumlah penagih dadah Melayu mencapai paras kedua tertinggi dalam tempoh sedekad tahun lalu, badan-badan Melayu mengalu-alukan penggemblengan usaha pelbagai pihak untuk terus meningkatkan usaha membantu penagih dadah dan menjaga keperluan keluarga mereka. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan