Images
  • sepak takraw family
    Edisi kelima SCG menampilkan para peserta pelbagai latarbelakang serta silang generasi bagi membina tali persahabatan dan daya tahan. (Gambar: Keluarga Kamsin)

Keluarga 3 generasi sertai sepak takraw Sukan Masyarakat Singapura

SINGAPURA: Sukan Masyarakat Singapura (SCG) yang sedang berlangsung sekarang ini, menyertakan satu lagi kategori ke dalam temasya sukan tahunan itu, iaitu bola sepak.

Ini bermakna, kesemuanya ada enam cabang sukan yang dipertandingkan, termasuk badminton, bola keranjang, boling, sepak takraw dan tenis meja.

Anjuran Persatuan Rakyat dan Majlis Kelab Sukan Masyarakat (CSC), SCG bertujuan untuk memupuk semangat kemasyarakatan menerusi sukan.

Tahun ini, lebih 600 pasukan akan bertanding, yakni peningkatan 20 peratus berbanding SCG tahun lalu.

Edisi kelima SCG menampilkan para peserta pelbagai latarbelakang serta silang generasi bagi membina tali persahabatan dan daya tahan di kalangan generasi muda, serta memperkasa perikatan kekeluargaan menerusi gaya hidup aktif.

Misalnya, wadah yang disediakan SCG itu memberi peluang kepada tiga generasi penggiat sepak takraw untuk masuk bertanding dan mengasah bakat mereka.

Sepasang adik-beradik, Muhd Irfan Zamri, 16 tahun, dan Muhd Danish Zamri, 11 tahun, turut berkongsi motivasi mereka.

"Saya suka kerana ia amat menarik dan seronok, kerana saya juga boleh membuat ramai kawan, dan saya suka berlawan dengan kumpulan-kumpulan pesaing yang lain," kata Muhd Irfan, yang juga seorang peserta sepoak takraw SCG.

Adiknya, Muhd Danish, turut memberikan pendapat: "Saya dapat lagi meluangkan masa dengan keluarga dan dapat lagi menggilap permainan saya."


(Gambar: Keluarga Kamsin)

Nama datuk mereka, Kamsin Moslin, 75 tahun, pernah menjadi sebutan dalam arena sepak takraw tempatan, kerana pernah menjadi jurulatih kebangsaan untuk Sukan SEA 1987.

Beliau begitu mengalu-alukan penganjuran kejohanan Sukan Masyarakat.

"Sukan itu harus ditumpukan kepada setiap keluarga kalau boleh. Ini akan mendatangkan, pertama sekali kesihatan. Kedua, menjauhkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini. Jadi, dengan secara tidak langsung kita dapat menyatukan keluarga saya, sampai ke anak cucu saya," kata Encik Kamsin, yang turut mengambil bahagian sebagai salah seorang peserta sepak takraw SCG.

Sebagai peserta sepak takraw SCG 2017 dan ibu bapa kepada Irfan dan Danish, Encik Zamri Kamsin turut memberikan nasihat bagi menggalakkan anak-anak untuk terlibat dalam kegiatan sukan.

"Selalu ikuti mereka, rapat dengan mereka dalam sukan-sukan segi apa sekali pun," katanya.

Yang pasti, bukan sekali dua, namun ini kali kelima pasukan tiga generasi ini menyertai SCG, iaitu semenjak ia dimulakan.

Bagi Encik Abdul Rahman Abdul Jalil pula, beliau sebelum ini juga menyertai acara sepak takraw dalam SCG.


(Gambar: Helmy Sa'at)

Namun, tahun ini beliau beralih untuk bertanding dalam sukan boling pula.

Pemuda berusia 33 tahun ini berkata, beliau mahu meluaskan skop penyertaannya ke dalam sukan berbeza demi mencabar keupayaan dirinya sendiri.

Kata Encik Abdul Rahman: "SCG ini bagus untuk semua. Ia lebih mengeratkan lagi silahturahim antara saya dengan kawan-kawan, dan lebih mencabar."

Temasya SCG berlangsung di merata negara, sehingga 21 Mei ini.

- BERITAMediacorp/im

Top
>