Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kawal selia lebih ketat disaran bagi industri pelancongan tempatan

Para pelanggan mungkin akan dapat melihat lebih banyak langkah perlindungan yang dipertingkat bagi melindungi mereka daripada ejen pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

Anggaran Waktu Membaca:
Kawal selia lebih ketat disaran bagi industri pelancongan tempatan

Pejabat Misa Travel ditutup. (Gambar: Kamini Devadass)

Diterbitkan : 22 Jun 2017 01:54PM Dikemas Kini : 22 Jun 2017 01:56PM

SINGAPURA: Para pelanggan mungkin akan dapat melihat lebih banyak langkah perlindungan yang dipertingkat bagi melindungi mereka daripada ejen pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

Ini akan dapat dilaksanakan dengan saranan-saranan oleh Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) untuk menambah kuasa siasatan dan penguatkuasaan mereka.

Pindaan yang disarankan ke atas Akta dan Pengawalan Ejen Pelancongan oleh MTI dan STB mahu memperkukuh rangka kerja kawal selia yang mengawal industri pelancongan.

Di bawah saranan-saranan baru itu, STB akan diberi kuasa untuk mengumpul bukti dari pihak-pihak ketiga yang relevan dan mengambil gambar, merakam audio dan video apabila menjalankan siasatan ke atas ejen-ejen pelancongan yang disyaki tidak bertanggungjawab.

Denda maksimum bagi kegiatan tidak berlesen akan dinaikkan kepada $25,000 dari $10,000, manakala denda maksimum bagi kesalahan kompaun akan dinaikkan kepada $5,000 atau separuh denda maksimum yang dikenakan, bergantung kepada mana satu yang lebih rendah.

Selain itu, denda kewangan pentadbiran (sehingga $2,000) juga akan diperkenalkan sebagai langkah pencegahan yang lebih tegas.

Langkah-langkah lain yang disarankan termasuk tempoh 'tunjuk sebab' yang dikurangkan kepada 14 hari berbanding 21 hari, sekiranya ejen pelancongan diberikan notis penggantungan atau pembatalan, supaya penguatkuasaan dapat dijalankan tepat pada masanya.

STB boleh meminta ejen-ejen pelancongan sedemikian supaya memaklumkan semua pelanggan sedia ada atau yang baru bahawa pihaknya sudah diberikan notis atau perintah penggantungan atau pembatalan supaya pelanggan boleh membuat keputusan yang lebih berhemah.

Undang-undang yang disarankan itu juga memerlukan ejen-ejen pelancongan mencatat keputusan para pelanggan untuk membeli insurans pelancongan yang turut melindungi mereka sekiranya ejen menjadi muflis.

Ini juga akan memastikan para pelanggan sedar akan langkah berjaga-jaga yang boleh diambil untuk melindungi bayaran yang dibuat terlebih dahulu sekiranya agensi pelancongan gulung tikar.

Perlindungan juga akan diluaskan mencakupi perubahan-perubahan kepada perjalanan, iklan yang tidak tepat atau salah, huraian pertelingkahan dan tempahan yang dibatalkan - menjangkaui kegiatan bersiar-siar dan membeli-belah.

Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Sim Ann berkata: "Sebahagian besar ejen pelancongan kita bersikap profesional dan menjalankan perniagaan mereka dengan bertanggungjawab.

"Namun sedang industri pelancongan dan jangkaan pelanggan berubah, kita perlu mengemas kini rangka kerja kawal selia bagi melindungi kepentingan pelanggan dan juga memastikan sekitaran perniagaan membolehkan agensi-agensi pelancongan berinovasi dan berkembang."

Pada bulan lalu, agensi pelancongan tempatan Misa Travel yang ditutup secara tiba-tiba membuatkan ratusan pelancong terkandas semasa musim sibuk pelancongan pada cuti sekolah pertengahan tahun.

Agensi-agensi lain yang dilaporkan ditutup beberapa bulan sebelum ini termasuk GC Nanda and Sons, Sky Travel and Tours dan S Travel.

Kali terakhir Akta Ejen Pelancongan dipinda ialah pada tahun 1993, manakala Pengawalan Ejen Pelancongan pada tahun 2007.

Sejak itu, terdapat perubahan-perubahan besar dalam industri pelancongan dan juga tabiat pelancongan pelanggan selain model-model pengendalian perniagaan baru, menurut MTI dan STB dalam satu kenyataan bersama.

Untuk menggalak inovasi dalam industri pelancongan, lawatan pariwisata atau berbasikal akan dikecualikan daripada memerlukan lesen ejen pelancongan, manakala entiti-entiti yang menjual atau mengatur lawatan tanpa tempat penginapan boleh bermohon untuk mendapatkan lesen terhad dengan syarat modal berbayar dan nilai bersih yang lebih rendah.

Sesi mengumpul maklum balas awam akan dijalankan sehingga 12 Julai.

Sumber : Today/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan