Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

KassimBaba tawarkan produk, khidmat mesra Muslim; 130 usahawan dan peniaga turut serta

Jika watak "Kassim Baba" dalam filem komedi P. Ramlee "Ali Baba Bujang Lapok" terpaksa bertungkus-lumus untuk memunggah harta karun, KassimBaba versi 2017 pula menawarkan pelbagai produk dan khidmat semudah di hujung jari saja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika watak "Kassim Baba" dalam filem komedi P. Ramlee "Ali Baba Bujang Lapok" terpaksa bertungkus-lumus untuk memunggah harta karun, KassimBaba versi 2017 pula menawarkan pelbagai produk dan khidmat semudah di hujung jari saja.

KassimBaba yang dimaksudkan ini adalah aplikasi yang dihasilkan oleh seorang anak Melayu tempatan.

Ia dilancarkan semalam (1 Apr) di Bazar KBLIVEFEST 2017 yang berlangsung hingga hari ini.

KHIDMAT MENYENANGKAN, TAWARKAN KEPELBAGAIAN

Aplikasi ini menghimpunkan pelbagai produk dan khidmat yang mesra Muslim.

Walaupun disasarkan kepada pembeli Islam, namun aplikasi ini juga berjaya menarik perhatian masyarakat lain.

"Aplikasi ini bagus, sebab ada makanan, baju-baju - senang kalau hendak beli. Jadi saya rasa ini amat berguna, terutama bagi kawan-kawan Muslim saya," dedahi Cik Regina Faith, 43 tahun.

"Terdapat banyak kategori barangan. Ia juga mudah digunakan, sangat menyenangkan," kata Encik Rio Tylor, 31 tahun, pula.

Menurut pengasas aplikasi ini, Encik Fauzi Razak, 38 tahun, sekitar 130 peniaga sudah berdaftar untuk menawarkan barangan dan khidmat mereka melalui aplikasi tersebut.

Ini termasuk peniaga kecil-kecilan dan mereka yang menjalankan perniagaan daripada rumah, yang boleh memanfaatkan wadah ini untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

INOVASI PENUHI KEPERLUAN MASYARAKAT

Berkongsi dengan BERITAMediacorp, Encik Fauzi berkata idea bagi aplikasi ini diilhamkan berdasarkan pengalamannya bekerja di luar negara selama bertahun-tahun.

Setelah mengalami kesukaran mencari keperluan dan produk halal di rantau ini, beliau juga mendapati bahawa negara-negara lain jauh lebih maju berbanding masyarakat tempatan dalam memanfaatkan pembelian dalam talian.

Lantaran itu, beliau bertekad untuk menyediakan khidmat yang bukan saja memenuhi citarasa pembeli milenial, malah dapat juga menawarkan khidmat relevan bagi masyarakat Islam.

"Ia wadah untuk kegunaan orang ramai. Ia ada makanan halal, untuk kanak-kanak, khidmat pendidikan, khidmat peguam." kata Encik Fauzi.

Beliau juga merancang untuk mendampingi badan-badan Melayu/Islam yang lain untuk menawarkan KassimBaba sebagai "pusat sehenti" yang menyediakan pelbagai khidmat di bawah "satu bumbung".

Berkongsi dengan BERITAMediacorp semasa majlis pelancarannya, Setiausaha Parlimen Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Muhammad Faishal Ibrahim memuji semangat keusahawanan dan daya inovasi usahawan Melayu seperti Encik Fauzi yang memanfaatkan teknologi untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat.

"Ini menunjukkan satu trend di mana ramai di antara belia kita memikirkan bagaimana mereka boleh memainkan peranan. Peranan di dalam pelbagai aspek pembangunan Singapura – ada dari segi niaga, ada dari segi sosial dan lain-lain," kata Dr Faishal.

Aplikasi KassimBaba boleh dimuat turun bagi telefon Android melalui Google Play dan tidak lama lagi boleh juga diperolehi menerusi iTunes bagi alat-alat mudah alih dan telefon bijak yang menggunakan iOS. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan