Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kapal perang dari 20 negara buat kemunculan di acara maritim antarabangsa pertama S'pura

Sekitar 30 kapal perang dari 20 negara akan berlabuh di sini sebagai sebahagian daripada semakan maritim antarabangsa yang julung-julung kalinya diadakan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 May 2017 09:24AM Dikemas Kini : 01 May 2017 11:23PM

SINGAPURA: Bermula 15 Mei, bendera Singapura tidak lagi menjadi satu-satunya bendera yang dikibarkan di Pangkalan Tentera Laut Changi.

Sekitar 30 kapal perang dari 20 negara akan berlabuh di sini sebagai sebahagian daripada semakan maritim antarabangsa yang julung-julung kalinya diadakan di Singapura. Acara tersebut adalah salah satu acara yang diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-50 Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN), atau RSN50.

Mediacorp difahamkan bahawa kapal-kapal dari Amerika Syarikat, China dan kesemua tentera ASEAN juga akan mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Lebih 4,000 tetamu dan peserta, termasuk 30 panglima tentera laut dan ketua pengarah pegawal pantai, dijangka menghadiri acara tersebut, yang disifatkan oleh para pemerhati sebagai pameran diplomasi maritim.

Timbalan pengerusi jawatankuasa penganjur RSN50 Kolonel Saw Shi Tat berkata acara tersebut "melambangkan persahabatan yang sudah terjalin dengan rakan-rakan dari seluruh dunia".

KAPAL BARU DIRASMIKAN PADA HARI RSN

Presiden Tony Tan Keng Yam akan menjalankan sebahagian daripada semakan di atas kapal misi litoral (LMV) Independence, iaitu kapal buatan Singapura. LMV Independence akan dirasmikan pada Jumaat (5 Mei), sempena Hari Angkatan Tentera Laut Singapura.

Kapal LMV Independence. (Gambar: Kenneth Lim)

Kapal LMV Independence. (Gambar: Kenneth Lim)

LMV Independence disifatkan sebagai lebih pantas dan bijak berbanding kapal-kapal yang digunakan sebelum ini - RSS Independence, yang berhenti digunakan pada bulan Mac selepas tempoh khidmat selama lebih 20 tahun.

Kapal baru tersebut, yang direka bagi fungsi-fungsi termasuk operasi keselamatan maritim dan misi mencari dan menyelamat, dijangka mula beroperasi menjelang Ogos. Ia adalah salah satu daripada lapan kapal LMV yang akan mula beroperasi menjelang pertengahan tahun 2020, yang menggantikan 11 kapal Fearless.

Sistem pelancaran dan pemulihan LMV membolehkan anak kapal untuk menggunakan bot-bot dalam masa kurang seminit, berbanding kapal sebelum ini yang memakan masa 15 minit.

Ia juga dilengkapi dengan sebuah sistem bijak yang membolehkan para pegawai untuk memantau peralatan, mengendalikan senjata, dan mengemudi di laut dari sebuah pusat kerahan.  

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan