Images
  • kampung admiralty
    Dua blok di Kampung Admiralty yang dikhaskan bagi golongan tua. (Gambar: HDB)

Kampung Admiralty sambut kumpulan penduduk pertamanya

SINGAPURA: Kompleks persaraan pertama Singapura di Kampung Admiralty memberikan kunci rumah kepada kumpulan pertama penduduknya hari ini (12 Ogos).

Bangunan 11 tingkat itu - yang menempatkan unit-unit perumahan, khidmat perubatan dan pembedahan, pusat jagaan kanak-kanak dan warga tua serta dan kedai-kedai akan beroperasi sepenuhnya menjelang awal 2018. Beberapa kemudahan sudah disediakan bagi para penduduk.

AP GRC Sembawang Khaw Boon Wan, yang menyelia kawasan undi itu, berkata Kampung Admiralty dibina dengan beberapa matlamat khusus.

Sebagai contoh, ruang awam seperti kawasan lapang berbumbung di tingkat bawah kompleks akan menggalak warga tua keluar rumah untuk bergaul manakala pusat jagaan kanak-kanak yang mempunyai sekitar 200 tempat akan menggalak usaha memupuk ikatan silang generasi.

Terdapat juga taman dan kebun awam bagi para penduduk berkumpul dan berinteraksi dalam kegiatan berkaitan berkebun.

Dua blok perumahan yang mempunyai sekitar 100 apartmen studio hampir ditempah kesemuanya.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan kira-kira 60 peratus daripada mereka yang membeli flat di kawasan itu adalah penduduk Woodlands atau estet berdekatan yang ingin mengisi masa tua mereka di sesuatu tempat.

Ciri-ciri mesra warga tua yang ada di apartmen itu termasuk lantai vinil supaya warga tua kurang berisiko tergelincir dan terjatuh.

Hob induksi juga menggantikan dapur gas atau elektrik supaya warga tua tidak terdedah kepada api panas semasa memasak. Ini juga mengurangkan risiko kebakaran atau pembocoran gas.

Sebuah pusat perubatan dua tingkat, di aras tiga dan empat kompleks itu dibuka secara bertahap-tahap sejak Julai lalu.

Ia menyediakan khidmat jagaan spesialis dan pilihan mendapatkan pembedahan siang hari. Terdapat juga farmasi di kolong kompleks berkenaan.

Di tingkat dua pula akan ada pusat penjaja yang menyediakan hidangan sihat dan termampu.

Setiap 43 gerai makanan akan menawarkan sekurang-kurangnya dua hidangan tidak lebih daripada S$2.80.

Sehingga 50 peratus daripada semua hidangan akan mematuhi piawaian pilihan lebih sihat Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB).

Pusat penjaja yang boleh menempatkan 900 orang itu akan dibuka pada bulan September ini. 

- CNA/RU/ru

Top