Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kajian mendalam 3 tahun mengenai fahaman, amalan asatizah S'pura akan dijalankan

Kajian yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun itu juga akan melihat sejauh manakah golongan asatizah berfungsi sebagai ‘penghubung budaya’. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kajian mendalam 3 tahun mengenai fahaman, amalan asatizah S'pura akan dijalankan

Gambar fail asatizah menghadiri satu bengkel.

BERITAMediacorp: Satu kajian yang meneliti peranan para asatizah dalam membentuk fahaman, amalan serta wacana agama di kalangan masyarakat Islam setempat, akan dijalankan oleh beberapa penyelidik tempatan mulai Ogos ini.

Kajian yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun itu juga akan melihat sejauh manakah golongan asatizah berfungsi sebagai ‘penghubung budaya’. Bermakna, sejauh mana mereka memberikan konteks kepada ajaran-ajaran agama yang membolehkan umat Islam membuat penyesuaian dalam masyarakat berbilang agama di sini.

Ketua Penyelidik projek tersebut, Dr Norshahril Saat, menganggap projek itu sebagai satu kajian yang penting, memandangkan masyarakat Melayu/Islam ini semakin cenderung kepada agama.

Mentelah lagi, dengan kurangnya penyelidikan terhadap isu tersebut, Dr Norshahril berharap kajian itu dapat mengisi jurang dalam bidang penyelidikan. Beliau menarik perhatian, buat masa ini banyak kajian tertumpu kepada soal keselamatan dan pengganasan.

Lantaran itu, usaha kajian terbaru itu diharap dapat memberi perspektif tempatan yang lebih jelas dan mendalam, tentang kecenderungan keagamaan masyarakat Muslim Singapura.

“Jadi, menerusi perspektif anak watan ini, kita boleh memahami apakah cabaran-cabarannya, apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh para agamawan kita dan ini berbeza dengan perspektif yang mungkin dibangkitkan pengkaji-pengkaji barat,” jelas Dr Norshahril, yang merupakan seorang Zamil di ISEAS - Institut Yusof Ishak.

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

Dr Norshahril Saat. (Gambar: Dr Norshahril Saat)

KAJIAN ANTARA 12 PROJEK TERPILIH BAGI GERAN SSRTG

Kajian itu merupakan antara 12 projek yang terpilih untuk menerima Geran Penyelidikan Sains Sosial Bertema (SSRTG) yang ditawarkan buat julung-julung kalinya oleh Majlis Penyelidikan Sains Sosial (SSRC).

Kesemuanya, 70 usulan diterima daripada tujuh buah institusi pendidikan setempat, antara Mei dan Ogos tahun lepas.

Pemilihan dibuat berdasarkan merit intelektual yang ditonjolkan sesebuah kajian serta kesannya terhadap masyarakat dan ekonomi negara.

Dr Norshahril akan disertai oleh Dr Azhar Ibrahim dari Universiti Nasional Singapura (NUS) selaku Penyelidik Bersama, serta Dr Noor Aishah Abdul Rahman - juga dari NUS - yang akan menyumbang sebagai kolaborator.

LIBATKAN ASATIZAH BARU DAN LAMA

Menurut Dr Norshahril, kajian itu akan merangkumi wawancara bersama beberapa kumpulan yang mengikuti jurusan agama dan bakal menjadi asatizah seperti golongan yang bakal atau sedang melanjutkan pengajian tinggi di luar negara. Para graduan aliran ukhrawi yang baru atau sudah lama pulang ke tanah air juga akan dikaji.

Dr Norshahril menjelaskan dengan lebih terperinci bahawa semua ini demi mendapatkan kefahaman lebih mendalam tentang pandangan dunia mereka dari segi keagamaan:

“Memahami bukan sahaja pandangan-pandangan mereka, tetapi juga institusi-institusi di mana mereka mendapat ilmu, di mana mereka belajar, mesti faham kurikulum yang diajarkan universiti-universiti tersebut, pergaulan mereka, apakah cabaran-cabaran mereka.

“Dan kita juga perlu memahami konteks di mana mereka belajar dan ini termasuk masalah-masalah sosio-ekonomi, masalah politik dan sebagainya.”

HASIL KAJIAN BOLEH BANTU PENGGUBALAN DASAR PENDIDIKAN UKHRAWI

Selain itu, kajian tersebut juga mahu mendalami bagaimana para asatizah setempat berkolaborasi dengan golongan-golongan lain.

Ini termasuklah dengan para pendakwah bebas dan cendekiawan agama, yang sememangnya turut mempengaruhi wacana Islam di negara ini.

Dr Norshahril percaya dapatan daripada kajian itu bukan sahaja dapat mendidik masyarakat dalam menentukan laluan pendidikan ukhrawi yang sesuai bagi anak-anak mereka, bahkan ia juga mampu membantu dalam penggubalan dasar-dasar yang dapat mempertingkatkan lagi mutu pendidikan agama Islam di Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan