Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar perkahwinan, penceraian dan kahwin campur Muslim catat peningkatan

Kadar perkahwinan dan perceraian di kalangan pasangan Muslim tempatan kedua-duanya mencatat sedikit kenaikan tahun lalu, berbanding tahun 2015.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Kadar perkahwinan dan perceraian di kalangan pasangan Muslim tempatan kedua-duanya mencatat sedikit kenaikan tahun lalu, berbanding tahun 2015.

Fenomena kahwin campur antara pasangan Melayu/Islam dengan pasangan berlainan kaum, juga terus kekal paling tinggi - iaitu lebih seganda jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain.

Demikian menurut perangkaan tahunan terbaru yang didedahkan Jabatan Statistik tentang perkahwinan dan perceraian.

Menurut laporan tahunan Jabatan Statistik mengenai perkahwinan dan perceraian, hampir 28,000 perkahwinan sivil dan Muslim didaftarkan pada 2016.

Jumlah itu 1.2 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Kemerosotan secara keseluruhan ini disebabkan oleh jumlah perkahwinan sivil yang berkurangan.

Pernikahan Muslim bagaimanapun naik daripada sekitar 5,800 kepada hampir 6,000.

Jumlah perceraian Muslim pula naik sedikit daripada sekitar 1,670 kepada 1,700.

Ini adalah selaras dengan peningkatan jumlah perceraian secara keseluruhan di Singapura tahun lalu.

Pasangan yang berumah tangga kurang lima tahun membentuk golongan terbesar, iaitu 21.2 peratus perceraian Muslim.

Dalam setiap 10 perceraian Muslim, tujuh daripadanya diinginkan oleh pihak isteri.

Punca utama yang diberi oleh pihak suami atau isteri yang meminta cerai adalah kecurangan.

Laporan itu juga mendapati perkahwinan campur antara Melayu dengan pasangan berlainan kaum, adalah yang paling ketara.

Ia membentuk hampir 34 peratus, sementara di kalangan perkahwinan sivil hanya sekitar 18 peratus.

Secara umum, perkahwinan antara kaum di Singapura semakin meningkat, iaitu satu daripada setiap 5 perkahwinan.

Laporan itu juga menunjukkan di kalangan pasangan Muslim, jumlah pengantin lelaki yang berkahwin dengan pengantin perempuan yang sama atau lebih tinggi kelulusan, khususnya berkelulusan universiti naik 7 peratusan mata kepada 61.2 peratus sejak sedekad lalu.

Trend peningkatan yang serupa juga dicatatkan bagi perkahwinan sivil.

Sementara itu, di kalangan perkahwinan Muslim, pengantin perempuan yang berkahwin dengan pengantin lelaki yang sama-sama berkelulusan universiti, turun 5 peratusan mata kepada 41.4 peratus.

Ini berbeza dengan jumlah pengantin perempuan dalam perkahwinan sivil.

Lebih tiga suku yang berkelulusan universiti berkahwin dengan pengantin lelaki dengan kelulusan yang sama, naik sedikit berbanding sedekad lalu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan