Images
  • raffles place
    Gambar fail para pekerja di kawasan Raffles Place. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Kadar pengangguran penduduk, pemberhentian kerja berkurangan pada suku ke-2

SINGAPURA: Kadar pengangguran di kalangan penduduk Singapura merosot pada suku kedua berbanding tiga bulan sebelum ini, meskipun ia lebih tinggi berbanding setahun lalu.

Demikian menurut perangkaan terkini yang dikeluarkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (14 Sep).

Di kalangan rakyat Singapura, kadar pengangguran yang disesuaikan secara musiman jatuh dari 3.5 peratus pada Mac kepada 3.3 peratus pada bulan Jun.

Bagi penduduk, kadar pengangguran merosot dari 3.2 peratus kepada 3.1 peratus, menurut laporan suku tahunan Pasaran Buruh MOM.

Sehingga bulan Jun sekitar 70,800 rakyat dan penduduk menganggur, berbanding 74,400 pada bulan Mac.

Secara keseluruhan kadar pengangguran tidak berubah iaitu 2.2 peratus.

Buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun, kadar pengambilan kerja tempatan meningkat pada separuh pertama tahun ini.

Peningkatan itu kebanyakannya berlaku dalam sektor khidmat masyarakat, sosial dan peribadi, khidmat kewangan dan insurans dan sektor penerangan dan perhubungan, tambah MOM.

KURANG PEKERJA DIBERHENTIKAN, LEBIH BANYAK KERJA KOSONG

Secara keseluruhan 3,640 pekerja diberhentikan pada suku kedua berbanding 4,000 pada suku pertama dan 4,800 setahun lalu.

Majoriti - 75 peratus - mereka yang diberhentikan kerja pada suku sebelumnya adalah golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).

Pada separuh pertama tahun ini, 7,640 pekerja diberhentikan berbanding 9,510 setahun lalu.

Pada suku kedua, jumlah kerja kosong meningkat di sektor awam dan dalam kalangan firma privet dengan sekurang-kurangnya 25 kakitangan.

Dengan jumlah kerja kosong yang lebih banyak dan bilangan mereka yang mencari kerja sedikit, nisbah kerja kosong dan mereka yang menganggur bertambah baik buat dua suku berturut-turut - iaitu 85 kerja kosong bagi setiap 100 yang orang mencari kerja pada bulan Jun berbanding 81 pada Mac dan 77 pada Disember lalu.

Dengan ekonomi Singapura dijangka bertumbuh 2.5 peratus tahun ini, permintaan buruh mungkin meningkat pada separuh kedua, selaras dengan pengambilan kerja musiman, menurut MOM.

Bekalan buruh dijangka kekal terhad pada jangka pertengahan, tambah MOM.

"Pertumbuhan tenaga kerja tempatan akan kekal sederhana disebabkan trend demografik sementara pertumbuhan tenaga kerja asing akan terus sederhana." 

- CNA/RU/ru

Top