Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah penduduk S'pura naik 1.3% kepada 5.61 juta

Meskipun lebih ramai warga Singapura melahirkan bayi tahun lalu, pertumbuhan penduduk Singapura kekal rendah - naik 1.3 peratus kepada 5.61 juta pada Jun.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Sep 2016 05:17PM Dikemas Kini : 28 Sep 2016 01:50AM

SINGAPURA: Meskipun lebih ramai warga Singapura melahirkan bayi tahun lalu, pertumbuhan penduduk Singapura kekal rendah - naik 1.3 peratus kepada 5.61 juta pada Jun.

Perangkaan itu, yang dikeluarkan hari ini (27 Sep) oleh Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD) dalam laporan sekilas Kependudukan tahunannya, juga menunjukkan bahawa jumlah warga Singapura naik 1 peratus kepada 3.41 juta, menerusi kelahiran dan imigresen.

Jumlah penduduk tetap (PR) rata-rata kekal stabil pada 520,000, berbanding 530,000 pada Jun 2015.

Jumlah penduduk yang tidak menetap di sini - kebanyakannya warga asing yang bekerja di Singapura dan keluarga mereka, serta para pelajar - naik 2.5 peratus kepada 1.67 juta, berbanding 2.1 peratus pada tahun sebelumnya. Pertumbuhan lebih kukuh dilihat pada jumlah pembantu rumah asing dan tanggungan warga Singapura yang mempunyai pas pelawat jangka panjang, menurut NPTD.

Langkah-langkah yang diambil Pemerintah untuk mengurangkan kemasukan warga asing menyaksikan pertumbuhan pengambilan pekerja asing - tidak termasuk pembantu rumah - kekal rendah pada 27,000 selepas mencapai kemuncak 77,000 pada 2012. Namun jumlah itu lebih tinggi berbanding setahun lalu, apabila 23,000 warga asing - tidak termasuk amah - diambil bekerja di sini.

"Pertumbuhan tenaga kerja asing akan terus disederhanakan untuk membekalkan tenaga kerja tempatan kita dengan cara yang mampan. Untuk kekal berdaya saing dalam pasaran buruh yang ketat, perniagaan-perniagaan akan perlu mereka semula pekerjaan dan menyusunnya semula supaya kurang bergantung kepada tenaga kerja dan lebih produktif," menurut NPTD.

Terdapat seramai 20,815 warga baru tahun lalu, rata-rata tidak berubah berbanding tiga tahun lepas. Sekitar 38.9 peratus daripada mereka berusia 20 tahun dan ke bawah, 13.4 peratus berusia antara 21 hingga 30 tahun, 27.1 peratus antara 31 hingga 40 tahun dan 20.5 peratus berusia lebih 40 tahun.

Kebanyakan (58.7 peratus) warga baru dari negara-negara Asia Tenggara, 35 peratus dari negara Asia lain dan 6.3 peratus dari negara lain di luar Asia.

Pemerintah mengambil "pendekatan tertukur terhadap imigresen" dan merancang untuk terus mengambil antara 15,000 hingga 25,000 warga baru setiap tahun untuk mengelak jumlah penduduk warga Singapura daripada menguncup, menurut laporan itu.

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan