Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah Minimum Medisave akan ditiadakan mulai tahun depan

 Jumlah Minimum Medisave akan dimansuhkan mulai tahun depan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Mar 2015 05:35PM Dikemas Kini : 12 Mar 2015 11:09PM

SINGAPURA: Jumlah Minimum Medisave akan dimansuhkan mulai tahun depan.

Ini bermakna, para pencarum tidak lagi perlu menokok Akaun Medisave mereka bagi memenuhi jumlah yang ditetapkan menggunakan wang CPF mereka sebelum mengeluarkan simpanan CPF apabila mereka mencecah usia 55 tahun.

Para pencarum CPF hanya perlu memenuhi salah satu daripada tiga jumlah persaraan yang ditetapkan oleh Lembaga CPF dalam Akaun Biasa dan Akaun Khas mereka sebelum mengeluarkan wang simpanan CPF mereka.

Mengumumkannya semasa Parlimen membahaskan peruntukan bagi Kementerian Kesihatan, Menteri MOH Gan Kim Yong berkata, ini diharap dapat memberikan penerangan yang lebih jelas mengenai jumlah yang boleh dikeluarkan oleh seseorang pencarum CPF dari Akaun Biasa dan Akaun Khas apabila mencecah usia 55 tahun.

Encik Gan turut mendedahkan bahawa Batas Sumbangan Medisave, iaitu baki maksimum yang perlu dimiliki oleh para pencarum dalam Akaun Medisave mereka akan dinamakan sebagai Jumlah Jagaan Kesihatan Asas.

Jumlah itu akan ditetapkan pada paras $49,800 dalam bulan Januari tahun depan, 2.7 peratus lebih tinggi berbanding Batas Sumbangan Medisave sekarang, iaitu $48,500.

Menurut Encik Gan, jumlah tersebut mencerminkan anggaran yang diperlukan dalam usia senja bagi jagaan kesihatan bersubsidi.

Lebihan simpanan Jumlah Jagaan Kesihatan Asas akan digunakan untuk menokok akaun-akaun CPF lain bagi perbelanjaan persaraan yang akan meningkatkan lagi agihan CPF Life.

Encik Gan menambah, mulai 2016, Jumlah Jagaan Kesihatan Asas akan ditetapkan bagi setiap kohort apabila mereka mencecah usia 65 tahun tanpa sebarang perubahan pada jangka hayat mereka. 

Sumber : CNA/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan