Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jenazah pelajar yang dihempap palang gol dibawa pulang esok; adik kepada Sarah Aqilah

Jenazah pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Geylang Methodist, Muhammad Hambali Sumathi, yang maut dihempap palang gol akan dibawa pulang esok untuk dikebumikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Jenazah pelajar yang dihempap palang gol dibawa pulang esok; adik kepada Sarah Aqilah

Allahyarham Muhammad Hambali Sumathi, yang maut dihempap palang gol. (Gambar: Instagram)

SINGAPURA: Jenazah pelajar lelaki dari Sekolah Menengah Geylang Methodist, Muhammad Hambali Sumathi, yang maut dihempap palang gol akan dibawa pulang esok untuk dikebumikan.

Dalam satu catatan di laman Instagram hari ini (24 Apr), kakak Allahyarham Hambali, iaitu penyanyi tempatan Sarah Aqilah, mendedahkan bahawa jenazah akan dibawa pulang sama ada esok pagi ataupun tengah hari, ke Blk 410 Eunos Road 5.

"Kami akan menuju ke hospital pada pagi esok untuk menuntut jenazah dan akan memaklumkan bila dia akan berada di rumah. Kirimkan doa anda buat dia. Sila bantu saya memaklumkan kepada mereka yang ingin melihatnya buat kali yang terakhir. Terima kasih. InsyaAllah, jumpa esok," bunyi tulisan Sarah lagi di Instagram.

Di ruangan komen Instagram milik Allahyarham Hambali, yang berusia 13 tahun, salah seorang daripada rakan sekolahnya yang menggunakan nama '@easturnt', turut berkongsi serba sedikit tentang insiden tersebut, seperti berikut:

"Sewaktu kelas latihan jasmani pada sekitar 9.30 pagi...dia memegang palang gol dalam posisi 'chin-up'. Tetapi tubuh belakang menghadap jaring...Tiba-tiba ia roboh dan menghempap kepala dan tulang belakangnya, jadi dia mengalami kecederaan di kepala dan dihantar ke hospital.

"Kemudian pada sekitar 1.30 petang, Pengetua menyuruh kami berhimpun, untuk mengumumkan tentang kematiannya di hospital."

PENGETUA SEKOLAH ZAHIR RASA "SANGAT SEDIH"

Pengetua Sekolah Menengah Geylang Methodist, Encik Wee Tat Chuen berkata, pihaknya "sangat sedih dengan tragedi ini".

"Pelajar berkenaan (Hambali) seorang yang aktif dan remaja lelaki yang ceria yang sukakan bola sepak," tambah Encik Wee lagi.

Allahyarham Hambali (berdiri, dua dari kanan) bersama pasukan bola sepak sekolahnya. (Gambar: Instagram)

Pihak sekolah, jelas beliau, sudahpun berhubungan dengan keluarga Allahyarham dan juga akan memberikan sokongan yang perlu kepada para pelajar dan kakitangan yang terjejas.

Polis buat masa ini menyifatkan insiden berkenaan sebagai kematian luar biasa.

UCAPAN TAKZIAH MENCURAH-CURAH DARI RAKAN-RAKAN

Sementara itu, ucapan takziah datang mencurah-curah khususnya daripada kawan-kawan sekolah Allahyarham Muhammad Hambali, menerusi laman Instagram Allahyarham, yang masih lagi aktif. Ratusan ucapan takziah ditinggalkan di laman miliknya itu semasa laporan ini diterbitkan.

Pemeriksaan BERITAMediacorp malah mendapati, ramai yang lain yang walaupun mereka tidak mengenali Allahyarham secara peribadi, turut menulis ucapan takziah.

"Walaupun saya tidak begitu mengenali anda, saya pernah ternampak anda di sekeliling sekolah, dan anda kelihatan seperti seorang yang sangat periang... Anda akan dirindui oleh rakan-rakan dan ahli keluarga. Anda akan sentiasa berada di dalam hati kami," tulis seorang pelajar dengan nama '_jkzr_' di Instagram.

Ratusan yang lain menyampaikan ucapan takziah menerusi Instagram Sarah Aqilah.

Awal dari itu, Sarah Aqilah menulis di laman Instagram beliau bagi mengumumkan pemergian adiknya: "Assalamualaikum semua, kepada sesiapa yang kenal adik saya. Almarhum Muhammad Hambali Bin Sumathi telah kembali ke rahmatullah pagi tadi.

"Sarah harap semua dapat sedekahkan Al Fateha buat adik dengan doa semoga Allah tempatkan adik digolongan hamba-hambanya yang beriman...Terima Kasih dari saya sekeluarga." 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan