Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jemaah umrah S'pura, yang dirawat di Jordan meninggal dunia, sebelum sempat diterbangkan pulang

Warga Singapura, Abdul Ghafur Mohd Ibrahim yang dirawat di hospital di Jordan sejak 23 Disember lalu, meninggal dunia pagi tadi (11 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Warga Singapura, Abdul Ghafur Mohd Ibrahim yang dirawat di hospital di Jordan sejak 23 Disember lalu, meninggal dunia pagi tadi (11 Jan).

Allahyarham Abdul Ghafur, berusia 59 tahun, sepatutnya dibawa pulang ke Singapura oleh satu pasukan SOS dari Singapura malam ini.

Pada 11 Disember lalu, Allahyarham Abdul Ghafur berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah bersama isterinya.

Tetapi selepas terjatuh di Makkah, kaki Allahyarham menjadi bengkak semasa melawat Jordan dan terpaksa menjalani rawatan di Pusat Perubatan dan Hospital Al Khalidi di Jordan.

Kakinya terpaksa dipotong kerana dijangkiti bakteria yang menghancurkan tisu-tisu dalam badan manusia.

Syarikat ST&T di Singapura, yang akhirnya mengaturkan proses membawa pulang Allahyarham dari Jordan, juga sudah menghantar seorang doktor dan seorang jururawat dari Singapura malam semalam (10 Jan).

Bagaimanapun pasukan SOS itu dimaklumkan tentang kematian Encik Abdul Ghafur apabila pesawat mereka singgah di Dubai.

Keluarga Allahyarham Abdul Ghafur yang sudah berada di Jordan membuat keputusan untuk mengebumikan jenazahnya di Jordan sebentar tadi.

BERITAMediacorp difahamkan, kos rawatan hospital Allahyarham di hospital tersebut menjangkau sekitar S$150,000. Bagaimanapun pihak hospital bersetuju memberi potongan sehingga hampir separuh.

BERITAMediacorp juga diberitahu, pihak keluarga Allahyarham sudah melunaskan kos rawatan yang dipercayai mencapai lebih $80,000 hasil sumbangan orang ramai dan pihak insurans.

Kisah kesulitan keluarganya untuk membawa pulang Allahyarham Abdul Ghafur yang sedang dirawat di hospital Jordan lewat tahun lalu mendapat perhatian para netizen.

Ini setelah salah seorang anaknya merayu bantuan kewangan agar dapat melangsaikan kos rawatan dan pemindahan ke Singapura yang dianggarkan jauh melebihi S$100,000.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan