Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jawatankuasa Menteri pastikan kepentingan negara diutamakan, tegas DPM Tharman

Amalan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa menteri, seperti yang ditubuhkan bagi menimbangkan masa depan rumah mendiang Lee Kuan Yew di Oxley Road adalah cara bagaimana Pemerintah memastikan isu-isu penting.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jun 2017 07:38PM Dikemas Kini : 22 Jun 2017 10:42PM

SINGAPURA: Amalan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa menteri, seperti yang ditubuhkan bagi menimbangkan masa depan rumah mendiang Lee Kuan Yew di Oxley Road adalah cara bagaimana Pemerintah memastikan isu-isu penting diberikan perhatian yang mendalam dan sewajarnya, kata Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam pada Khamis (22 Jun).

Menurut Encik Tharman, jawatankuasa-jawatankuasa itu akan memastikan agar Pemerintah tidak "bertindak sendirian dan sewenang-wenangnya" dan memastikan kepentingan negara, walaupun terdapat kepentingan privet yang sah, tetap diberikan keutamaan.

Di tengah-tengah perselisihan antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan adik beradiknya ialah fasal yang digugurkan dan kemudian dimasukkan semula dalam wasiat mendiang Encik Lee Kuan Yew, yang menetapkan hasrat mendiang untuk merobohkan rumahnya di Oxley Road selepas pemergiannya.

Dalam komentarnya, editor The Straits Times Han Fook Kwang mempersoalkan keputusan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean menubuhkan jawatankuasa tersebut, sambil menanyakan sama ada para menteri Kabinet sepatutnya terlibat sama dalam perselisihan adik beradik itu.

Dalam responsnya, DPM Teo menegaskan bahawa Pemerintah perlu bertanggungjawab berhubung keputusan terhadap rumah tersebut.

Menerangkan lebih lanjut mengenainya di laman Facebook beliau hari ini, DPM Tharman berkata: "Ia adalah mengenai bagaimana kita sebagai Pemerintah tidak bertindak secara sendirian dan sewenang-wenangnya bagi memastikan agar kepentingan negara walaupun terdapat kepentingan privet yang sah dipelihara dan pandangan jangka panjang diutamakan daripada pandangan jangka pendek."

Berikut catatan DPM Tharman di Facebooknya:

"Anda perlu yakin."

"Saya perlu tegaskan bahawa tiada misteri di sebalik penubuhan Jawtankuasa Menteri yang ditubuhkan untuk meneliti pilihan bagi 38 Oxley Road. DPM Teo yang mempengerusikan Kabinet mengenai perkara yang terbabit dengan rumah itu sudahpun menerangkan dengan jelas mengapa beliau menubuhkannya.

Kami sebenarnya melakukan demikian dari masa ke masa - menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada sekumpulan menteri. Kami sudah melakukannya sejak bertahun-tahun yang lalu dan ia sudah banyak berubah. Ia adalah mengenai bagaimana kita memastikan isu-isu penting diberikan perhatian yang mendalam dan sewajarnya, dan pilihan-pilihannya diteliti oleh para menteri yang terlibat sebelum Kabinet membuat keputusan dan secara kolektif bertanggungjawab atas keputusan itu. Ia juga memastikan agar kami bukan sebuah Pemerintah yang bertindak sewenang-wenangnya dan kepentingan negara mesti diutamakan walaupun terdapat kepentingan privet yang sah dan pandangan jangka panjang seharusnya menjangkaui pandangan jangka pendek.

Ini adalah satu cabaran tadbir urus yang tidak akan luput dan cabaran ini juga wujud di mana-mana saja. Kita belum lagi sampai ke peringkat yang sempurna dan biarlah kita bersikap berterus terang kerana ada dasar yang tidak begitu tepat dalam sejarah kita.

Sungguhpun demikian, kita mempunyai sistem yang menegakkan undang-undang dan penggubalan dasar yang mengimbangi kepentingan awam dan privet, jangka panjang dan jangka pendek, sesuatu yang jarang-jarang sekali dilihat di dunia dan ia juga merupakan asas yang membentuk kejayaan Singapura. Bermula dengan asas yang dibangunkan oleh Lee Kuan Yew dan pasukannya. Dan diteruskan oleh pemerintah di bawah pasukan Goh Chok Tong dan Lee Hsien Loong.

Kami mempunyai jawatankuasa-jawatankuasa menteri mengenai pelbagai jenis isu. Ia membantu kami menimbangkan pilihan-pilihan sukar yang dihadapi Pemerintah sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet dan mendapatkan pandangan luar jika perlu. Saya sendiri mempengerusikan beberapa jawatankuasa sedemikian, khususnya yang melibatkan isu sosial atau ekonomi. Pada bulan lalu saja saya sudah bertemu dengan lima jawatankuasa menteri yang kami tubuhkan untuk menggubal dasar mengenai isu-isu penting.

Sesetengah jawatankuasa menteri mungkin ditubuhkan untuk selama beberapa bulan saja kerana masalah-masalahnya dapat dihuraikan dengan pantas. Ada juga jawatankuasa yang bertahan selama bertahun-tahun - ada kalanya dengan penyertaan menteri-menteri baru seperti dasar mengenai pekerja asing dan pembiayaan dana bagi jagaan kesihatan dan keperluan persaraan.

Sebagai contoh, sejak 2014 kami menubuhkan Jawatankuasa Menteri mengenai Pembangunan Changi East bagi menyelaraskan pelan untuk memperluaskan lapangan terbang, tenaga manusia dan keperluan keselamatannya, penempatan semula pangkalan udara Paya Lebar, peluang perindustrian, peruntukan pengangkutan darat dan pembinaan rumah. Ia menghimpunkan beberapa orang menteri yang disokong oleh kakitangan awam bagi mencari keseimbangan yang terbaik antara pelbagai permintaan dan merancang pilihan-pilihan bagi tempoh 10, 30 dan 50 tahun akan datang. Begitulah perancangan jangka panjang kami.

Oleh itu, anda perlu yakin, walaupun dibelenggu dengan perselisihan yang menyedihkan ini. Kita mempunyai sistem tadbir urus yang dibangunkan oleh Lee Kuan Yew dan pasukannya dan ia tidak akan lenyap begitu saja. Anda boleh bergantung kepada PM Lee Hsien Loong dan juga kami semua dalam pasukannya. Anda juga boleh bergantung kepada pemimpin generasi keempat untuk mempertahankan sistem yang menegakkan undang-undang negara, mengutamakan kepentingan bersama dan berpandangan jauh. Kami bukan Pemerintah yang sempurna tetapi akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk Singapura. Kami juga bergantung kepada rakyat Singapura untuk memastikan agar Pemerintah terus berpegang teguh kepada prinsip-prinsip ini dan memainkan peranan kita secara bersama supaya Singapura bersatu padu dan inklusif.

Sumber : CNA/aw
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan