Images
  • oxley road
    38 Oxley Road. (Gambar: Howard Law) 

Jawatankuasa 38 Oxley Road: Andaian ada konflik kepentingan 'tidak masuk akal', kata Shanmugam

SINGAPURA: Menteri Undang-Undang K Shanmugam pada hari ini (17 Jun) membidas andaian yang mendakwa bahawa penyertaan beliau dalam jawatankuasa menteri berhubung rumah di 38 Oxley Road menimbulkan konflik kepentingan adalah sesuatu yang "tidak masuk akal".

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada catatan Facebook Encik Lee Hsien Yang yang mendakwa bahawa jawatankuasa menteri "ada kelemahannya".

"Saya sedia maklum peraturan konflik kepentingan kerana sudah berkhidmat dalam bidang ini selama lebih 22 tahun. Andaian seolah-olah pelibatan saya menimbulkan konflik adalah sesuatu yang "tidak masuk akal". Jika Encik Lee Hsien Yang benar-benar percaya bahawa pelibatan saya adalah satu konflik kepentingan, maka beliau boleh mendapatkan peguamnya untuk menulis kepada saya dan saya akan memberikan respons yang sewajarnya."

"Saya sudahpun menjadi seorang Menteri Kabinet semasa saya berbincang dengan beberapa anggota keluarga Lee -- atas perintah mereka -- dan memberikan mereka pandangan saya. Mereka bukan anak guam saya. Tiada apa yang saya katakan ketika itu yang boleh mengecualikan saya daripada berkhidmat dalam Jawatankuasa tersebut.

"Saya pasti kebanyakan rakyat Singapura sudah mula mual dengan dakwaan yang tiada penghujungnya, yang tidak berasas ini.

"Pemerintah ada perkara-perkara serius yang perlu ditangani berkaitan kebajikan rakyat Singapura."

- CNA/ru

Top