Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jalan Ampas 'buka pintu' sekali lagi bagi orang ramai imbau jasa anak seni masa lalu

Pekarangannya dibanjiri para peserta siri lawatan Jejak Warisan anjuran MAEC Kelab Masyarakat Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Studio Shaw di Jalan Ampas hidup kembali hari ini (13 Ogos) setelah berdekad lamanya menyepi sejak 1967.

Namun, ia bukan untuk sebuah sesi penggambaran filem.

Pekarangannya dibanjiri para peserta siri lawatan Jejak Warisan anjuran MAEC Kelab Masyarakat Woodlands.

160 PENDUDUK ACARA LAWATAN JEJAK WARISAN

Di Studio Shaw Jalan Ampas, lahirnya permata-permata seni seperti Allahyarham Saloma dan trio popular Bujang Lapok.

Hari ini, seramai 160 penduduk berkesempatan mengintai-intai kawasannya menerusi satu lawatan berpandu yang dikendalikan khas oleh artis veteran Yusnor Ef sendiri.

"Walaupun sebelum studio Jalan Ampas sudah ada syarikat persendirian yang sudah menghasilkan filem, tetapi tidaklah sejaya sebagaimana studio Jalan Ampas. Jadi saya kata ini sebagai warisan khazanah masyarakat Melayu, nusantara yang harus dipelihara, harus diberi perhatian.

"Saya sendiri personal mengatakan harus berterima kasih kepada pihak Shaw Brothers yang masih lagi mengekalkan studio ini dan menjadikan tempat lawatan kepada masyarakat atau generasi hari ini," kata Encik Yusnor.

Seniwati veteran Zaiton pula berkata: "Jadi nampak banyak yang berubah. Banyak yang berubah, hati pun sedih. Tadi bila cakap hendak nangis sahaja, tidak tahan. Tetapi alhamdullilah, bagus macam ini. Kalau boleh teruskan macam ini buat peringatan kita."

Artifak-artifak yang dipamerkan di Jalan Ampas. (Gambar: Said Mahadi/BERITAMediacorp)

HARUS INGAT JASA SENIMAN, SENIWATI LAMA

Cik Zaiton Abdullah, kali terakhir berlakon dalam filem Raja Bersiung.

Beliau salah seorang barisan seniman veteran yang mengadili sesi uji bakat dan peraduan berhias bagi memberi peserta lawatan secebis pengalaman beraksi di Jalan Ampas.

Peluang keemasan melawat tempat penuh sejarah ini menarik perhatian bukan sahaja yang tua tetapi juga yang muda dan malah, warga asing juga.

"Saya pun merupakan seorang peminat filem-filem P.Ramlee jadi memang terharulah dapat melihat sendiri studio Shaw Brothers, di mana filem-filem itu dilakukan dan dikeluarkan," kata seorang peserta acara itu.

"Saya rasa ia amat penting untuk belia-belia seperti saya mengetahui sejarah Jalan Ampas dan melestarikan teater-teater Melayu," tambah seorang lagi peserta.

Setiausaha Parlimen Kementerian Ehwal Dalam Negeri yang juga Penasihat Akar Umbi GRC Sembawang, Encik Amrin Amin, berharap lawatan itu meningkatkan penghargaan dan minat masyarakat terhadap filem-filem Melayu tempatan.

Encik Amrin berinteraksi dengan para seniman dan seniwati veteran semasa lawatan itu. (Gambar: Facebook/ Amrin Amin)

"Walaupun ramai di antara mereka sudah pulang (ke rahmatullah), lakonan mereka, seni kata mereka masih dekat di hati. Jadi harus kita sentiasa mengingati jasa mereka dan yang ada, harus kita kenang budi mereka dan kita menimba ilmu mereka.

"Dan inilah tujuan jejak warisan ini supaya kita tidak lupa, generasi ini tetap ingat, tetap kenang budi generasi perintis," kata Encik Amrin.

Lawatan itu merupakan siri Jejak Warisan ketiga tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan