Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Iswaran: Pemerintah "tegas dalam komitmen" bantu SME buat peralihan ekonomi

Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) merupakan tumpuan dan penerima utama langkah-langkah ekonomi yang dibentangkan dalam Belanjawan 2017 dan laporan Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE) baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Iswaran: Pemerintah "tegas dalam komitmen" bantu SME buat peralihan ekonomi

Gambar fail Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perushaan) S Iswaran. (Gambar: Siti Bazilah/MediaCorp)

Diterbitkan : 01 Mar 2017 12:32AM Dikemas Kini : 01 Mar 2017 12:34AM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) merupakan tumpuan dan penerima utama langkah-langkah ekonomi yang dibentangkan dalam Belanjawan 2017 dan laporan Jawatankuasa Ekonomi Masa Hadapan (CFE) baru-baru ini.

Ini ditegaskan oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perusahaan) S Iswaran di Parlimen hari ini (28 Feb), hari pertama perbahasan Belanjawan.

SME merupakan "enjin utama pertumbuhan masa hadapan kami dan penting untuk daya saing kelompok-kelompok ekonomi kami," kata Encik Iswaran.

"Sedang SME tumbuh, mereka akan mewujudkan lebih banyak peluang dan pekerjaan untuk rakyat Singapura. Jadi Pemerintah tegas dalam komitmen kami untuk membantu SME membuat peralihan ini dengan berjaya."

Beliau menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat besar "tidak semestinya memerlukan sokongan sebegini... syarikat-syarikat kecil yang memerlukannya."

LIMA ASPEK SOKONGAN

Encik Iswaran, yang juga pengerusi bersama CFE, menggariskan lima aspek utama yang mana Pemerintah menyokong SME.

Pertama, beliau berkata syarikat-syarikat yang mahu menebarkan sayap secara global boleh memanfaatkan program-program International Enterprise Singapore (IE) - Bantuan Kesediaan Pasaran dan skim Perkongsian Syarikat Sejagat - untuk mengkaji dan memahami pasaran sebelum menebar sayap.

Beliau juga menarik perhatian bahawa dalam Belanjawan 2017, Pemerintah mengumumkan komitmen sehingga S$600 juta dari segi modal untuk menubuhkan Dana Kerjasama Antarabangsa yang baru, yang akan secara bersama melabur dalam firma-firma berpangkalan di Singapura untuk membantu mereka mempertingkatkan diri dan mengantarabangsakan perniagaan.

Kedua, katanya, terdapat pelbagai program pinjaman untuk menyediakan pembiayaan kepada SME. Ini termasuk Pinjaman Kelengkapan SME dan Pinjaman Kilang SME.

Terdapat juga pelbagai skim untuk membantu SME berinovasi. Antaranya termasuk program S$100 juta untuk membantu SME memperdagangkan hak milik intelektual (IP) menerusi rangkaian Pusat-Pusat Inovasi.

"Kami mahu SME mewujudkan produk-produk dan perkhidmatan baru, dan itu yang mereka juga mahu lakukan, untuk membezakan diri mereka daripada pasaran," kata Encik Iswaran.

Tentang membantu SME membangunkan keupayaan, menteri itu menegaskan tentang skim Perkongsian bagi Transfomasi Keupayaan (PACT), di mana SME berkolaborasi dengan syarikat-syarikat besar untuk membangunkan keupayaan-keupayaan baru.

"Ini penting", kata Encik Iswaran. "Kerana banyak SME kami sebahagian penting sesebuah kelompok, mereka bekerja dengan syarikat teras, pemain utama...dan keupayaan-keupayaan SME memperkukuhkan daya saing kelompok itu secara keseluruhannya."

Beliau juga bercakap tentang Program Transformasi Digital untuk SME. "Secara keseluruhannya, kami mempunyai sokongan geran sekitar S$1.5 bilion bagi pembangunan keupayaan seperti itu di SME."

Encik Iswaran juga mengingatkan Dewan bahawa terdapat "pelaburan yang ketara" untuk membangunkan kemahiran para pekerja menerusi SkillsFuture.

PEMERINTAH "PENGUPAYA PENTING"

Pemerintah mempunyai program-program meluas dan tertumpu untuk membantu SME berjaya membuat peralihan ekonomi, kata Encik Iswaran, sambil menambah ia tidak terlibat dalam "memilih pemenang."

Sebaliknya, Pemerintah memainkan peranan "pengupaya penting" dan akan "menyokong syarikat-syarikat yang bersedia membuat peralihan-peralihan penting ini," katanya.

Encik Iswaran memberi respons kepada komen sebelum ini oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi Leon Perera dari Parti Pekerja, yang berkata Belanjawan 2017 merupakan "peluang besar yang tidak dimanfaatkan" untuk memperkukuhkan perusahaan-perusahaan tempatan.

"Saya baru sahaja memberikan anda senarai lengkap - bukan senarai penuh - pelbagai inisiatif yang kami sudah jalankan," kata Encik Iswaran.

"Mungkin perkara yang ingin dijelaskan (Encik Perera) ialah Pemerintah harus terlibat memilih lebih ramai pemenang," kata Encik Iswaran.

"Jika Pemerintah menyokong sesebuah syarikat...dan inisiatif itu tidak berjaya, saya rasa kami boleh jangkakan perbahasan yang akan berlaku, dan soalan-soalan inilah yang akan diajukan Encik Leon Perera."

Menyusuli pengumuman Belanjawan itu, para wakil pelbagai persatuan dan dewan perdagangan memberitahu Mediacorp bahawa mereka mahukan lebih banyak bantuan untuk jangka pendek.

Encik Iswaran berkata Pemerintah mengiktiraf cabaran-cabaran yang dihadapi SME Singapura sekarang ini, dan memberi jaminan bahawa bantuan jangka pendek akan terus diberikan sekiranya perlu. 

Sumber : CNA/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan