Images

Isu produk 'Qaseh Serata Herb': Dr Balkis dan Dr Masayu beri amaran tentang trend bahaya

SINGAPURA: Produk 'Qaseh Serata Herb' yang mengakibatkan seorang wanita mengalami kesan sampingan steroid dan menghidap kencing manis sebenarnya sudah berada dalam senarai hitam badan penyelia ubat-ubatan di Malaysia.

Pakar-pakar kesihatan yang ditemui BERITAMediacorp menekankan lagi betapa pentingnya pengguna bijak menjalankan pemeriksaan sendiri, sebelum membeli sesuatu produk.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengeluarkan amaran awal bulan ini supaya jangan membeli atau makan produk yang dihasilkan di Tumpat, Kelantan itu selepas didapati mengandungi bahan berbahaya yang tidak diisytihar.

Seorang wanita Melayu 60-an tahun mengalami kesan sampingan serius termasuk sindrom Cushing setelah makan Herba Qaseh, untuk merawat sakit lutut.

Doktor keluarga di Balkis Family Clinic, Dr Balkis Akbar Ali berkata: "Kalau kita beli bahan yang ada steroid, seperti dexamethazone yang ada di Herba Qaseh – itu satu steroid yang sangat kuat. Kalau kita makan, dapat rasa segar, Superman agaknya."

Seorang lagi doktor keluarga di Neptune Clinic, Dr Masayu Zainab juga memberi amaran tentang trend ini yang boleh menimbulkan bahaya.

Dr Masayu memberikan penerangan: "Masalahnya mereka mahu sihat dan kuat secara cepat dan mudah dengan menelan pil dan terus mendapatkan kesihatan tanpa memerlukan usaha. Saya ibaratkan trend sedemikian seperti skim cepat kaya."

"Maknanya seperti skim cepat sihat. Kalau masalah skim cepat kaya, mungkin kita rugi wang dan insyaAllah dapat kembali tetapi kalau kita hilang kesihatan kita dan tidak dapat dipulihkan kembali, itu kan merupakan satu kebimbangan untuk semua orang?" katanya.

Kes Herba Qaseh terbongkar, apabila doktor yang merawat mangsa menyarankan beliau melaporkan kepada Penguasa Sains Kesihatan (HSA), supaya tiada mangsa lain terjejas.

Dr Balkis turut menambah: "Selama 30 tahun saya berpraktik di sini, ada juga 1 peratus hingga 5 peratus yang termakan ubat yang salah. Mungkin mereka sudah tembam muka, atau ada bonjolan pada belakang leher atau berat badan naik 4, 5 kilogram sebulan, baru mereka cari nasihat saya."

Bagaimanapun, menurut Dr Balkis sebahagian besar pesakit enggan melaporkan hal sedemikian.

Ini terutamanya jika mereka membelinya daripada sahabat dan saudara-mara.

HSA memberi jaminan maklumat dan identiti pelapor akan dirahsiakan. Tambahnya, usaha melaporkan kini semakin penting dengan lambakan produk yang mudah dibeli, termasuk menerusi internet dan media sosial.

Penolong Pengarah Kumpulan (Kelompok Pasca-Pasaran) bagi Kumpulan Pengawalaturan Produk Kesihatan, HSA, Dr Dorothy Toh memberikan pendapat: "Tanggungjawab dan kewajipannya adalah ke atas para pengedar, termasuk pengilang, pemborong, pengimport untuk memastikan produk kesihatan yang mereka pasarkan adalah selamat untuk dimakan. Ini bermakna, mereka tidak boleh menambah ubat barat seperti steroid."

Herba Qaseh dipasarkan sebagai produk herba tradisional untuk pelbagai masalah perubatan seperti rasa bisa, mati pucuk, sakit buah pinggang dan angin ahmar.

HSA bagaimanapun mendapati ia mengandungi beberapa ubat barat berbahaya yang tidak diisytiharkan.

Dr Balkis menambah: "Bahan-bahan tak dipaparkan. Cuma dia taruh "Penawar Ubat 1,001". Tak logik pada saya – ada ubat untuk membaiki semua penyakit. Kalau ada ubat itu, saya tutup klinik."

Dr Masayu turut berkata: "HSA akan diberitahu tentang masalah ubat-ubat sedemikian dan mereka akan daftarkan di dalam laman web mereka tetapi kadang-kala kita tidak tahu tentang ubat-ubat sedemikian. Jadi sebagai pengguna adalah baik jika kita peka dengan masalah-masalah sampingan dan kita jangan anggap semua testimoni itu benar dan sahih."

Lelaman HSA, www. healthdangers.sg, menyenaraikan lebih 230 produk yang didapati mengandungi bahan terlarang. 

- BERITAMediacorp/im

Top
>