Images
  • dr norshahril
    Dr Norshahril Saat mengulas tentang keputusan Presiden Trump iktiraf Baitulmakdis.  

Isu Baitulmakdis: Helah Trump dan Netanyahu alih pandangan daripada isu domestik?

SINGAPURA: Tindakan Presiden Trump menjadikan Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel boleh dijadikan alasan oleh golongan-golongan tegar untuk mencetuskan tindakan radikal yang lebih dahsyat termasuk umat Islam sendiri.

Menurut seorang pakar politik Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak Dr Norshahril Saat, tindakan Presiden Trump itu juga memberi kesan negatif yang terlalu besar kepada proses damai di Timur Tengah.

GOLONGAN 'DI LUAR PAGAR' MUNGKIN LEBIH TERDORONG 'BERJIHAD'

Menurut Dr Norshahril menyatakan, melihat kepada retorik-retorik yang ada sejauh ini, golongan-golongan tegar mungkin akan memanfaatkan situasi tersebut sebagai justifikasi untuk melakukan serangan-serangan.

Ini terutama sekali apabila isu-isu berkaitan dengan Islam dan dalam hal ini, melibatkan tapak ketiga paling suci dalam Islam.

"Isu-isu ini akan menguatkan lagi resolusi golongan-golongan tegar untuk menarik mungkin pengikut-pengikut yang mungkin di luar pagar yang berkemungkin belum sangat yakin dengan perjuangan jihad dan sebagainya untuk bersama-sama dengan golongan tegar tersebut," kata Dr Norshahril.

PERANAN WASHINGTON SEBAGAI PENGANTARA DIPERSOALKAN

Dr Norshahril menambah, langkah Encik Trump itu juga menimbulkan persoalan besar tentang peranan Washington selaku perantara rundingan damai Israel-Palestin.

Dalam reaksinya, pihak Palestin sudahpun dengan keras membidas perbuatan Presiden Trump itu "memusnahkan huraian dua negara" bagi Israel dan Palestin.

"Apabila kita menggunakan istilah ‘mediator’ atau pengantara itu, kita mesti melihat bahawa seorang pengantara itu mesti bersikap adil, mendengar respons kedua-dua pihak dan keprihatinan kedua-dua pihak. Tapi, jelas imej beliau (Presiden Trump) sebagai pengantara ini akan terjejas kerana seakan-akan ia berat sebelah kepada Israel," ujar Dr Norshahril.

TRUMP DAN NETANYAHU ALIH PERHATIAN TENTANG KRISIS DALAMAN?

Menurut Dr Norshahril lagi, apa yang berlaku sekarang boleh dianggap sebagai satu strategi Presiden Trump dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mengalihkan tumpuan dari tekanan politik domestik.

Presiden Trump dan anaknya Trump Jr, kini tertekan dengan tuduhan bersekongkol dengan Rusia. Menurut agensi risik Amerika Syarikat, Rusia tahun lalu campur tangan untuk mempengaruhi kempen pilihan raya 2016 bagi meningkatkan peluang Encik Trump untuk menang dan mengalahkan Hillary Clinton.

"Benjamin Netanyahu juga sedang menghadapi satu tekanan daripada domestik berkenaan beberapa skandal rasuah. Jadi ini mungkin suatu pengumuman yang melegakan kedua-dua pihak (Netanyahu dan Trump) kerana menggunakan dimensi dasar luar ini untuk menyelamatkan kerjaya politik masing-masing dalam negara masing-masing," komen Dr Norshahril kepada BERITAMediacorp.

Menurutnya lagi, mungkin Presiden Trump akan dilihat sebagai 'hero' oleh golongan pengikutnya kerana melakukan apa yang tidak dilakukan presiden-presiden sebelum ini - iaitu mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Namun ia seolah-olah tindakan provokatif yang tidak menguntungkan dunia. 

- BERITAMediacorp/FZ/aq

Top