Images
  • netlink
    Gambar fail van NetLink Trust. (Gambar: NetLink Trust)

Internet, khidmat telefon terjejas di Jurong West dek kabel terputus

SINGAPURA: Khidmat jalur lebar dan telefon terganggu di kawasan Jurong West disebabkan kabel yang terputus, menurut syarikat-syarikat telko tempatan pada Selasa (11 April).

Dalam catatan Facebooknya, syarikat telko M1 menyatakan pengendali gentian NetLink Trust mengesahkan bahawa terdapat kabel yang terputus di kawasan itu sehingga menyebabkan kesukaran untuk mengakses khidmat jalur lebar dan telefon bimbit.

Singtel juga menggunakan Facebook untuk memaklumkan perkara yang sama kepada para pelanggannya.

Para pelanggannya di Jurong West, Boon Lay dan Corporation Road juga mungkin menghadapi kesukaran untuk mengakses khidmat jalur lebar, telefon, termasuk Singtel TV.

Pada masa yang sama, syarikat telko StarHub turut memberitahu para pelanggannya mengenai gangguan khidmat yang serupa.

Menurut StarHub: "NetLink Trust, pengendali rangkaian gentian memaklumkan kami bahawa para juruteranya sedang berusaha untuk menanganinya. Kami akan memberikan perkembangan terkini sebaik sahaja kami menerima maklumat lanjut daripada NetLink Trust."

Dalam satu kenyataan di lamannya, NetLink Trust menyatakan ia sudah mengerahkan sebuah pasukan untuk menyiasat "gangguan khidmat" tersebut.

Tambah NetLink Trust: "Sekiranya khidmat anda terjejas akibat kejadian ini, kami meminta maaf atas kesulitan yang dialami dan menghargai kesabaran anda sedang kami bekerjasama dengan Penyedia Khidmat Internet anda untuk memulihkannya secepat mungkin."

- CNA/hs

Top
>