Images
  • wealth management institure
    Menteri Kewangan Heng Swee Keat di acara pembukaan rasmi Institut Pengurusan Harta. (Gambar: Dylan Loh)

Institut Pengurusan Harta bentangkan program-program baru, bina bakat industri

SINGAPURA: Latihan bagi para pengurus harta di Singapura bakal mendapat sokongan tambahan dengan adanya program-program baru untuk mengasah bakat dalam industri tersebut.

Institut Pengurusan Harta, yang menjadi institut autonomi Universiti Teknologi Nanyang (NTU) awal tahun ini, akan mengadakan kursus-kursus pensijilan dan program meningkatan kemahiran bagi mereka yang baru dalam industri itu serta untuk para pekerja yang berpengalaman.

Dilantik sebagai penyedia utama kursus bagi sektor perbankan swasta oleh Institut Perbankan dan Kewangan, institut tersebut juga akan memperluas rangkaian kursus yang meliputi bidang seperti Pengurusan Aset dan Teknologi Kewangan (FinTech).

Ia merancang untuk memperkenalkan program-program bagi para pengurus kekayaan di Singapura mendapat kemahiran dan kepakaran yang relevan untuk memenuhi tuntutan masa depan dalam industri.

Ini sejajar dengan Perancangan Perubahan Industri bagi perkhidmatan kewangan, yang melakarkan rancangan untuk terus mengembangkan sektor itu.

Institut itu bermatlamat untuk mengembangkan jumlah siswazah perbankan swasta sehingga 4-5 kali ganda lebih besar menjelang beberapa tahun ini.

Program-program baru yang dibangun para pemimpin dan pakar industri perbankan swasta akan dilancarkan pada 2019.

"Kami berharap dapat memainkan peranan penting dalam membantu para pengurus kekayaan di Singapura dan mereka di luar negara, memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk menjadi yang terbaik," kata ketua eksekutif institut tersebut, Cik Foo Mee Har.

Berucap di pembukaan rasmi institut itu hari ini (7 Dis), Menteri Kewangan Heng Swee Keat menekankan tentang kedudukan Singapura sebagai pusat pengurusan aset di Asia Pasifik.

"Asia bersedia untuk terus menjadi rantau yang paling pesat berkembang di dunia dalam jangka masa terdekat," katanya. "Sejajar dengan pertumbuhan ini, kekayaan persendirian di Asia dijangka menjadi yang paling cepat berkembang di peringkat global iaitu pada kadar 10 peratus setahun dari 2016 hingga 2021."

"Singapura berada di posisi yang baik untuk memacu kekayaan global dan rantau ini."

Temasek juga sudah menyalurkan jumlah sebanyak S$11.9 juta kepada institut tersebut untuk penubuhan dana endowmen.

Dana itu akan digunakan untuk memajukan penciptaan ilmu pengetahuan dan pembinaan keupayaan dalam pengurusan kekayaan dan aset. 

- CNA/AQ/aq

Top