Images
  • Perseid meteor
    Tahi bintang Perseid kelihatan di Nevada, 13 Ogos 2015. (Gambar: AFP/Ethan Miller/Getty Images North America)

Ingin lihat tahi bintang Perseid di S'pura esok & lusa? Ini lokasinya...

SINGAPURA: Para pencinta ilmu falak di Singapura mungkin berpeluang menyaksikan sendiri pancuran tahi bintang Perseid yang dijangka menakjubkan, pada hujung minggu ini.

Pancuran tahi bintang itu berlaku sedang bumi melalui serpihan komet Swift-tuttle yang ditinggalkan setiap Ogos.

Sedang tahi bintang gugur menembusi atmosfera bumi, ia kelihatan seperti jalur-jalur cahaya di langit.

Menurut pengasas bersama kumpulan Singapore Sidewalk Astronomy Gary Chee, waktu terbaik untuk melihatnya adalah sebelum kemunculan bulan - semasa keadaan gelap - dan selepas tengah malam, apabila ia begitu menyerlah.

Menurut Encik Chee sesetengah rakyat Singapura bernasib baik kerana dapat menyaksikan pancuran tahi bintang Perseid sebelum ini.

Sungguhpun demikian, Encik Chee menasihati agar mereka yang mahu menyaksikannya kali ini perlu bersabar kerana tahi bintang hanya akan muncul secara rambang, selama beberapa saat sahaja.

Bagi yang berminat menyaksikannya, Encik Chee menyarankan tempat-tempat seperti pantai Changi, pantai West Coast dan Taman Bishan, di mana langit malam dapat dilihat dengan luas dan jelas.

Selain itu mereka juga boleh ke tempat-tempat tinggi seperti taman di atas bumbung.

Tiada sebarang peralatan khas yang diperlukan untuk menyaksikannya, tambah Encik Chee.

Menurut Pusat Sains Singapura, pancuran tahi bintang yang lebih banyak lazimnya berlaku antara pukul 2.00 pagi dengan 5.00 pagi.

Namun, hanya sedikit dapat dilihat dalam sekitaran bandar seperti Singapura. 

- CNA/NK/nk

Top