Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Individu di S'pura jadi radikal pada rentak lebih pantas, dedah Shanmugam

Para individu yang menjadi radikal di Singapura kini menjadi sedemikian pada rentak yang lebih pantas, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:
Individu di S'pura jadi radikal pada rentak lebih pantas, dedah Shanmugam

Gambar fail Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 14 Sep 2017 08:52AM Dikemas Kini : 14 Sep 2017 08:54AM

SINGAPURA: Para individu yang menjadi radikal di Singapura kini menjadi sedemikian pada rentak yang lebih pantas, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam pada Rabu (13 Sep).

Berucap di satu sesi dialog yang dihadiri para anggota masyarakat Islam dan pemimpin akar umbi, Encik Shanmugam berkata seramai 18 rakyat Singapura yang radikal ditangkap sejak dua tahun kebelakangan ini.

Ini merupakan satu peningkatan berbanding 11 yang ditangkap antara 2007 hingga 2014.

Beliau menambah bahawa sebelum kemunculan ISIS, pihak berkuasa mendapati ia akan mengambil masa sekitar dua tahun bagi seseorang individu untuk menjadi radikal tetapi sekarang sesetengah individu mungkin menjadi radikal sepantas satu atau dua bulan saja.

Encik Shanmugam menekankan bahawa Pemerintah akan mengharamkan para pendakwah daripada mana-mana agama yang cuba menjatuhkan agama-agama lain dalam ceramah mereka.

Permohonan dua pendakwah Kristian asing ditolak pihak berkuasa baru-baru ini kerana mereka mengeluarkan komen-komen yang "memburuk-burukkan dan menghasut" terhadap agama lain.

"Bagi kita, saya rasa caranya adalah: 'Kami tidak mahukan perkara seperti ini. Kami mempunyai sebuah pulau. Cuba jauhkan daripada perkara ini dan kami hidup dalam keadaan aman dan bertoleransi'," kata Encik Shanmugam malam semalam.

Langkah Pemerintah dalam menangani isu itu juga termasuk langkah-langkah memperkukuhkan kepimpinan Islam, katanya.

Sebagai contoh, Pemerintah mewajibkan semua asatizah diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah sejak Januari tahun ini.

Terdapat juga kod etika bagi para asatizah dan MUIS turut menyediakan sokongan lebih kukuh bagi asatizah "untuk mengamalkan Islam dalam konteks Singapura", tambah Encik Shanmugam.

Selain itu, Kumpulan Pemulihan Keagamaan, MUIS dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat meningkatkan pendampingan seperti mengedarkan risalah tentang perlindungan terhadap radikalisme, kongsi Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa pengganasan semakin menjadi ancaman yang besar di rantau ini, dengan ISIS menyasarkan tempat-tempat seperti Marawi di Filipina untuk memperluaskan pengaruh mereka.

Encik Shanmugam menggesa masyarakat Singapura supaya tampil membimbing para belia yang mungkin mudah terpengaruh dengan fahaman pelampau.

Beliau juga menggesa mereka supaya terlibat dengan kegiatan-kegiatan masyarakat bagi mengeratkan ukhwah.

"Kita perlu bekerjasama dalam membina sebuah masyarakat yang memanfaatkan kita, sebuah masyarakat tidak kira kaum, agama yang mahu masyarakat berbilang kaum dan agama, hubungan masyarakat lebih erat, bersatu mengharungi cabaran-cabaran yang dihadapi," ujar beliau. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan