Images
  • school
    Sukarelawan membantu para pelajar Sekolah Rendah Oasis membeli makanan semasa waktu rehat. (Gambar: Hetty Musfirah / CNA)

Ibu bapa secara keseluruhannya berpuas hati dengan sistem pendidikan sekolah rendah

SINGAPURA: Kebanyakan ibu bapa rakyat Singapura secara amnya berpuas hati dengan sistem pendidikan sekolah rendah tempatan.

Demikian menurut hasil tinjauan Institut Pengajian Dasar yang dikeluarkan hari ini (17 Jul).

Pusat kumpulan pemikir itu menjalankan tinjauan tersebut selama tiga bulan pada tahun lalu, yang meninjau 1,500 ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah di sekitar 180 sekolah rendah.

Menurut para pengkaji, tinjauan itu adalah "yang pertama mewakili peringkat nasional dan usaha terbuka yang pertama" untuk mendapatkan pandangan ibu bapa tentang pelbagai isu mengenai sistem pendidikan sekolah rendah Singapura.

Berdasarkan tinjauan tersebut, lebih 90 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa sistem pendidikan Singapura adalah antara yang terbaik di dunia. Mereka juga bersetuju bahawa kebanyakan sekolah rendah menyediakan pendidikan yang bermutu tinggi.

Lebih 80 peratus juga bersetuju bahawa sekolah rendah yang dihadiri anak mereka dianggap sebagai "sekolah yang baik". Hampir 70 peratus pula mengatakan anak mereka menuntut di sekolah pilihan mereka yang dianggap sebagai sekolah yang baik oleh orang ramai, sementara 12.7 peratus pula mengatakan anak mereka ke sekolah yang bukan pilihan mereka tetapi tetap dianggap sebagai sekolah yang baik oleh ramai orang.

Hanya 3.7 peratus sahaja yang mengatakan sekolah anak mereka bukan sekolah pilihan mereka, yang juga bukan dianggap sekolah yang baik oleh ramai orang. Daripada responden dalam kategori ini, hampir empat daripada 10 rasa berpuas hati atau sangat berpuas hati dengan sekolah tersebut.

Seorang zamil kanan IPS Mathew Mathews berpendapat bahawa hasil tinjauan itu menunjukkan bahawa kebanyakan sekolah rendah memenuhi jangkaan ibu bapa, tidak kira sama ada ia sekolah pilihan mereka ataupun tidak.

"Apabila kita dengar orang menyebut bahawa sistem sekolah rendah amat sukar untuk ditembusi, sehingga ada yang perlu beratur dan buat bermacam-macam lagi untuk memasukkan anak mereka ke sekolah yang baik, mengikut pandangan orang ramai, tidak begitu banyak sekolah yang baik," kata Dr Mathews, yang juga pengkaji utama kajian itu.

"Apabila kami mengumpulkan hasil tinjauan itu, kami mendapati ia tidak benar."

"Sudah tentu ia bercanggah dengan perbualan di kedai kopi, tetapi apabila mengumpulkan data sebegini ia menunjukkan kepada ramai orang bahawa sekolah anak mereka merupakan sekolah yang amat baik."

TINJAUAN HAKIS MITOS 'IBU BAPA KIASU'

Meskipun demikian, hasil tinjauan itu menunjukkan majoriti responden - sebanyak 77.3 peratus - tidak melakukan apa-apa secara aktif untuk memastikan anak mereka mendapat tempat di sekolah rendah yang baik. Sekitar 10 peratus berpindah berdekatan dengan sekolah pilihan mereka bagi memastikan anak mereka boleh didaftarkan dalam fasa lebih awal.

Walaupun pendaftaran tahunan Darjah 1 merupakan sesuatu yang "mencemaskan", hasil tinjauan menunjukkan hanya 27.9 peratus sahaja yang melaporkan pengalaman yang mencabar.

Menurut Dr Mathews, dapatan ini "menghapuskan mitos" bahawa ibu bapa Singapura sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan tempat di sekolah rendah bagi anak mereka.

IBU BAPA: PEMBENTUKAN WATAK CIRI PENTING SEKOLAH BAIK

Tinjauan itu juga meminta reponden untuk mengenal pasti ciri-ciri "sekolah yang baik". Ciri-ciri tersebut dibahagikan kepada dua kategori: Proses, ciri-ciri yang mengutamakan pembangunan dan persekitaran - termasuk perkara-perkara yang mencerminkan budaya dan persekitaran sekolah rendah - dan ciri-ciri yang mementingkan kejayaan dan keputusan.

Dalam kategori pertama, hampir semua ibu bapa - 97.2 peratus responden - percaya bahawa guru yang memberi perhatian kepada pembangunan sosio-emosi pelajar adalah ciri yang penting bagi sesebuah sekolah yang baik. Ciri ini berada lebih tinggi daripada kebolehan sekolah untuk membantu pelajar menguatkan asas akademik, dengan 97 peratus daripada responden menyatakan ia adalah ciri utama sekolah yang baik.

Ibu bapa juga menitikberatkan nilai-nilai dan pembentukan keperibadian dan usaha membantu pelajar yang lemah untuk mencapai keputusan lebih baik, dengan 94 peratus bersetuju ia turut menjadi ciri-ciri sekolah yang baik.

Di kalangan faktor kejayaan dan keputusan pula ialah markah PSLE yang tinggi (72.8 peratus) dan para pelajar dari sekolah tersebut memasuki sekolah menengah dengan reputasi yang baik (70.6 peratus). Namun begitu, pengkaji mendapati walaupun pilihan kebanyakan ibu bapa bagi pendaftaran Darjah 1 dipengaruhi sama ada sekolah tersebut mempunyai hubungan dengan sekolah menengah berkenaan dan afiliasi dengan sekolah menengah yang baik berada di tangga keempat dalam senarai ciri-ciri keputusan dan kejayaan. Hanya tiga daripada lima ibu bapa merasakan ini adalah satu ciri yang penting.

Hanya 23.9 peratus responden berpendapat kerja rumah yang banyak merupakan sesuatu yang penting.

Tinjauan itu juga menanyakan responden mengenai faktor-faktor yang dipertimbangkan semasa memilih sekolah rendah anak mereka. Majoriti daripada mereka - lebih 90 peratus - berpendapat mutu guru-guru dan penekanan terhadap pembentukan watak adalah penting.

Para pengkaji mendapati faktor yang ada kaitan dengan rangkaian luar sesebuah sekolah tidak begitu penting bagi ibu bapa. Afiliasi sekolah rendah dengan sesebuah sekolah menengah, rangkaian alumni dan afiliasi dengan suku kaum atau pertubuhan agama adalah antara lima kriteria terendah dari segi peratusan ibu bapa yang menganggapnya sebagai kriteria yang penting.

HASIL TINJAUAN YANG "BERCANGGAH"

Namun demikian, walaupun ibu bapa menzahirkan keinginan terhadap penekanan kepada pembentukan watak dan pendidikan yang holistik, masih ramai lagi yang memberikan penekanan kepada akademik, menurut para pengkaji. Ini menunjukkan percanggahan dalam hasil tinjauan itu.

Contohnya, 63.3 peratus ibu bapa yang ditinjau menyatakan sekolah rendah harus memberikan lebih banyak tumpuan kepada bahasa Inggeris.

Tetapi dalam soalan yang berasingan, 70.8 peratus daripada mereka menyatakan punca utama tekanan dan kegelisahan daripada pendidikan anak-anak mereka datang daripada membantu mereka menduduki ujian dan peperiksaan. Punca-punca tekanan yang lain termasuk bimbang jika anak mereka tidak berjaya dalam sistem pendidikan dalam jangka panjang (63.4 peratus), dan bimbang jika anak mereka gagal mendapatkan gred yang diharapkan (56.8 peratus).

Menurut para pengkaji, ini menunjukkan "walaupun ramai ibu bapa inginkan sistem pendidikan yang seimbang, terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi tingkah laku mereka berhubung pendidikan anak-anak mereka".

DASAR MOE "MENEPATI SASARAN"

Responden juga ditanya mengenai pelbagai perubahan pada dasar-dasar Kementerian Pendidikan (MOE) dan bagaimana ia boleh diperbaiki. Hampir 94 peratus ibu bapa menyatakan kurikulum sekolah rendah boleh diperbaiki lagi agar ia mudah diuruskan, sementara dua pertiga mengatakan jumlah kerja rumah harus dikurangkan.

Sungguhpun sedemikian, kurang daripada separuh bersetuju PSLE seharusnya ditangguhkan kepada usia yang lebih lanjut lagi. "Ini mungkin menunjukkan walaupun tiada kata sepakat mengenai isu ini, pada tahap ini majoriti masih lagi berpendapat bahawa peperiksaan peringkat nasional adalah kayu ukur yang perlu dalam kemajuan pendidikan anak mereka," menurut pengkaji.

Para pengkaji merumuskan bahawa kajian yang luas itu turut menunjukkan dasar-dasar MOE yang diperhalusi baru-baru ini masih "menepati sasaran" dan ramai ibu bapa menyokong tumpuan terhadap pembangunan watak dan nilai-nilai, dan mengurangkan jumlah kerja rumah.  

- CNA/fa

Top