Images
  • hfmd
    Pemeriksaan HFMD (Gambar: Koh Mui Fong / TODAY)

Ibu bapa hati-hati: Musim virus HFMD kian hampiri musim puncak

SINGAPURA: Singapura kian menghampiri musim puncak bagi Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

Demikian menurut Dr Justin Chu dari Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi di Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut berlaku dalam putaran, jadi kami dapat menyaksikan pada setiap dua atau tiga tahun, kami akan menghadapi penularan yang besar. Tahun ini, kami juga kian menghampiri musimnya, iaitu di mana virus itu akan muncul semula dan menyebabkan penularan," kata Dr Chu.

Dr Chu turut mendedahkan bahawa lebih banyak kes biasanya dicatat selepas cuti sekolah bulan Jun.

Menurut Kementerian Kesihatan, lebih 17,000 kes HFMD yang dilaporkan setakat sehingga 1 Julai tahun ini.

Jumlah ini berbanding lebih 23,000 yang dicatat pada tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, Dr Chu berkata jumlah kes tahun ini tidak menjangkau jumlah tahun lalu.

Menurutnya, para pengkaji NUS juga semakin hampir dalam menghasilkan vaksin pelbagai guna, yang membantu tubuh mengeluarkan antibodi bagi melawan pelbagai virus.

Ini adalah penting, terutama sekali bagi merawat HFMD, memandangkan ia berpunca dari lebih daripada satu jenis virus.

Dr Chu berkata demikian di satu sidang yang dianjurkan oleh Kesatuan Antarabangsa Sains Mikrobiologi, yang diadakan di Singapura buat julung-julung kalinya.

- CNA/im

Top