Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ibu bapa harus rebut peluang ajar anak mereka kemahiran teknologi

Demi mempersiapkan generasi muda menghadapi ekonomi masa depan, ibu bapa harus merebut peluang yang ada untuk menggalak anak-anak mereka mendalami bidang teknologi.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Demi mempersiapkan generasi muda menghadapi ekonomi masa depan, ibu bapa harus merebut peluang yang ada untuk menggalak anak-anak mereka mendalami bidang teknologi.

Mentelah lagi kemahiran berkaitan teknologi, seperti pengekodan, adalah "satu keperluan dalam industri akan datang."

Demikian kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI, Cik Rahayu Buang bersama Mediacorp, di acara tamat penggal pertama 'Code in Community' atau Kod Dalam Masyarakat, Sabtu lalu (20 Mei).

Kod Dalam Masyarakat adalah program percuma anjuran syarikat teknologi Google, dengan kerjasama empat badan bantu diri setempat, termasuk Yayasan MENDAKI.

Seramai 500 pelajar dari keluarga berpendapatan rendah belajar kemahiran asas pengekodan dalam penggal pertama program ini yang berlangsung selama 10 minggu.

PELUANG TERSEDIA TERMASUK UNTUK GOLONGAN KELUARGA SUSAH

Menurut Cik Rahayu, MENDAKI menerima sahutan yang "amat menggalakkan" bagi program ini, dan bercadang untuk teruskan kerjasamanya dengan Google.

"Kami mengharapkan lebih banyak ibu bapa menghantarkan anak-anak mereka ke kelas koding begini, kerana ia adalah suatu peluang emas yang patut direbut dan ini akan memberi banyak kebaikan kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat meneruskan minat mereka dalam bidang teknologi," kata Cik Rahayu.

Selain latihan kemahiran langsung untuk pelajar, Cik Rahayu juga menarik perhatian kepada usaha anjuran MENDAKI yang sedia ada, seperti CM-Tech di Kejiranan, yang mendedahkan ibu bapa kepada teknologi-teknologi terkini.

"Inisiatif-inisiatif sebegitu oleh Yayasan MENDAKI boleh mendekatkan lagi masyarakat kita pada pembelajaran dalam bidang teknologi dan memberi inspirasi kepada anak-anak kita untuk mendalami bidang ini," tambah Cik Rahayu.

Di acara itu juga, Menteri Negara Kanan, Kementerian Kewangan merangkap Undang-Undang Cik Indranee Rajah, menekankan pentingnya mengadakan peluang sebegini bagi semua lapisan masyarakat.

SAMBUTAN HANGAT DARI IBU BAPA DAN ANAK-ANAK

Program ini ternyata disambut baik oleh kedua-dua ibu bapa dan pelajar yang ditemui Mediacorp.

"Saya suka kursus ini sebab boleh buat permainan sambil belajar lagi, jadi rasa seronok!" kongsi Noor Aidil Bin Zakaria, 13 tahun, dari Sekolah Menegah Hillgrove.

"Saya suka belajar tentang pengekodan dan saya belajar membuat permainan-permainan yang sungguh seronok dan saya sukai," kongsi Muhammad Arshad, 11 tahun, dari Sekolah Rendah Sembawang pula.

Mereka berdua adalah antara 60 pelajar yang menjalani penggal pertama program ini menerusi Yayasan MENDAKI.

Cik Ambar Rahayu, ibu kepada Muhammad Arshad, turut memberi maklum balas positif mengenai program itu.

"Saya lebih suka melihat anak-anak saya pergi ke kelas untuk belajar membuat permainan ini sendiri, membuat sesuatu yang baru, daripada mereka membazirkan masa mereka untuk bermain permainan," kongsi beliau.

Cik Ambar menambah bahawa beliau pasti akan menghantar anaknya ke kelas sebegini jika anaknya itu berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut.

Kod Dalam Masyarakat bermatlamat melengkapkan 3,000 pelajar dengan kemahiran pengekodan.

Penggal kedua kursus ini akan bermula pada bulan Julai. Bagi yang berminat untuk menyertai kohort 2018 maklumat lanjut boleh didapatkan di www.CodeInTheCommunity.com. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan