Hospital Gleneagles biayai kos perubatan pengawal keselamatan terkena serangan jantung
Hospital Gleneagles akan menanggung kos salah seorang pengawal keselamatannya yang tidak mampu membayar kos perubatannya setelah mengalami serangan jantung dan harus dimasukkan ke dalam unit jagaan rapi (ICU).
SINGAPURA: Hospital Gleneagles akan menanggung kos salah seorang pengawal keselamatannya yang tidak mampu membayar kos perubatannya setelah mengalami serangan jantung dan harus dimasukkan ke dalam unit jagaan rapi (ICU).
Di laman give.asia yang ditubuhkan untuk mengumpul dana bagi pengawal keselamatan itu, saudara lelakinya berkata beliau menghargai sumbangan orang ramai tetapi pihak hospital sudah bersetuju untuk menanggung kos perubatan Encik Thomas Lukose.
"Kami baru sahaja menerima khabar baik dari ketua pegawai eksekutif (CEO) Gleneagles, Dr Lee Shen Ming, yang mengatakan mereka akan membiayai kos perubatan saudara saya dan kami tidak perlu lagi mencari cara untuk mengumpul dana," kata Encik Daniel Lukose.
Beliau berkata, mereka rasa tersentuh dengan semua yang tampil ke depan untuk membantu dan menderma sambil menambah, dana terkumpul akan diberikan kepada "orang yang memerlukan".
Setakat pagi ini (13 Okt), laman tersebut berjaya mengumpul S$24,500 - lebih 50 peratus daripada jumlah yang ingin dikumpulkan.
Encik Thomas Lukose sedang bertugas pada sebelah malam di hospital Gleneagles pada 13 September ketika beliau mengalami serangan jantung dan dimasukkan ke dalam ICU.
Memandangkan mereka tidak mampu membayar kos perubatan di hospital swasta, ahli keluarga Encik Lukose cuba memindahnya ke Hospital Besar Singapura (SGH). Ini dikongsi saudara pesakit di laman give.asia.
Walau bagaimanapun, usaha mereka gagal kerana SGH tidak mempunyai tempat kosong dalam ICU.
"Ia sangat berisiko kalau kami terus menangguh pembedahan ke atas saudara saya. Oleh itu, kami bercadang untuk meneruskannya di Gleneagles." tambah Encik Daniel.
Encik Thomas Lukose menjalani pembedahan jantung pada 16 September. Pakar bedah, Dr Sriram Shankar, tidak mengenakan sebarang kos ke atasnya tetapi pihak hospital mengeluarkan bil berjumlah S$78,000 (S$13,500 akan dibiayai insurans).
"Keluarga kami tidak mampu membayar kos perubatan itu kerana saya sendiri seorang pengawal keselamatan sementara dua saudara saya seorang pemandu dan pengawal keselamatan," kata beliau lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.