Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hawazi Daipi: Belanjawan 2015 serta manfaatnya kepada rakyat perlu dilihat secara menyeluruh

Belanjawan 2015 serta manfaatnya kepada rakyat perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya dari sudut keuntungan peribadi sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Belanjawan 2015 serta manfaatnya kepada rakyat perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya dari sudut keuntungan peribadi sahaja.

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Tenaga Manusia, Hawazi Daipi, berkata demikian semasa menggulung satu sesi dialog mengenai belanjawan itu semalam.

Encik Hawazi berkata meskipun ada kecenderungan untuk melihatnya dari sudut kepentingan peribadi, para penduduk harus melihat manfaatnya dalam jangka panjang.

Sesi dua jam ini turut disertai Setiausaha Parlimen Kesihatan merangkap Pengangkutan, Dr Muhd Faishal Ibrahim dan melibatkan 120 pemimpin akar umbi Melayu/Islam dari merata negara.

Pelbagai aspek belanjawan tahun ini dibincangkan, termasuk bantuan tambahan yang diharapkan bagi golongan-golongan tertentu.

Misalnya, sebilangan peserta inginkan skim bantuan Ihsan Senja dilanjutkan kepada golongan tua yang tinggal di flat lima bilik atau lebih besar. Ada juga yang menyarankan agar pemansuhan yuran peperiksaan nasional dilanjutkan kepada para mahasiswa di universiti swasta.

Dr Faishal menerangkan dalam setiap belanjawan, pasti akan ada golongan yang mendapat lebih manfaat berbanding yang lain.

Encik Hawazi pula menjelaskan dalam memperuntukkan perbelanjaan, pemerintah perlu juga memastikan ia seimbang dengan pendapatan negara. Malah, kata beliau, peruntukan perbelanjaan bagi tahun ini sudahpun melebihi pendapatan yang disasarkan.

Lantaran itu, cukai pendapatan bagi golongan berpendapatan tinggi perlu dinaikkan demi menampung pembiayaan yang bertambah.

Menjawab soalan daripada salah seorang peserta, Encik Hawazi juga menekankan bahawa belanjawan kali ini bukanlah 'umpan' semata-mata meraih sokongan rakyat.

Walaupun beliau akur ia dilakukan pemerintah di seluruh dunia, apa yang penting, katanya, tindakan sesebuah pemerintah itu menguntungkan dan bukan memudaratkan negara serta rakyatnya.

Sesi dialog ini anjuran Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA).

Lebih 50 sesi serupa akan diadakan di merata negara bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan orang ramai mengenai Belanjawan 2015.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan