Images
  • kilang
    Para pekerja di sebuah kemudahan pengilangan di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Hasil pengilangan S'pura melonjak 21% pada Julai

SINGAPURA: Dirangsang oleh prestasi kukuh yang dicatatkan oleh kelompok elektronik, hasil pengilangan Singapura melonjak 21 peratus berbanding setahun lalu dan ini merupakan peningkatan 12 bulan berturut-turut.

Hasil pengilangan naik 1 peratus pada bulan Julai berbanding bulan sebelumnya, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) hari ini (25 Ogos).

Tidak termasuk sektor bioperubatan yang tidak menentu, hasil pengeluarannya tumbuh 4.9 peratus.

Hasil pengeluarannya tumbuh 13.1 peratus pada Jun dan 5 peratus pada Mei berbanding tahun lalu.

Pengeluaran sektor elektronik meningkat 49.1 peratus berbanding setahun lalu. Pertumbuhan bagi segmen semikonduktor dan peranti komputer masing-masing mengatasi sektor lain dengan peningkatan sebanyak 67.6 peratus dan 18.9 peratus..

Bagaimanapun, hasil pengeluaran bagi modul elektronik dan komponen lain serta pengeluaran penyimpanan data masing-masing merosot 5.2 peratus dan 27.2 peratus.

Kelompok kejuruteraan jitu juga mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 21.8 peratus, dengan pemesinan dan sistem-sistem tumbuh 25.4 peratus disebabkan permintaan eksport yang lebih tinggi bagi peralatan yang ada kaitan dengan semikonduktor.

Hasil pengeluaran bioperubatan tumbuh 5 peratus yang sebahagian besarnya dipacu oleh segmen teknologi perubatan, yang berkembang sebanyak 17.7 peratus disebabkan oleh permintaan kukuh bagi alat perubatan.

Industri pengilangan am mencatat pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus pada Julai berbanding setahun lalu, dengan segmen makanan, minuman dan tembakau naik 14.8 peratus dengan pengeluaran minuman dan produk tenusu yang lebih tinggi.

Bagaimanapun perusahaan aneka jenis merosot 1.3 peratus dengan pengeluaran yang lebih rendah bagi bahan-bahan yang berkaitan binaan dan pengeluaran syarikat percetakan yang menguncup 9.5 peratus.

Pengeluaran kelompok kimia meningkat 4.8 peratus, dengan petrokimia melonjak 20.3 peratus.

Sebahagian besar pertumbuhan petrokimia yang kukuh disebabkan oleh asas yang rendah pada bulan Julai tahun lalu, memandangkan sesetengah loji ditutup bagi kerja-kerja penyenggaraan, kata EDB.

Hasil pengeluaran kejuruteraan pengangkutan meningkat 2.3 peratus, dirangsang oleh pertumbuhan bagi kedua-dua segmen aeroangkasa dan pengangkutan darat, masing-masing mencatat peningkatan 21 peratus dan 14.1 peratus.

Segmen kejuruteraan luar pesisir dan marin bagaimanapun, tetap lemah, merosot 9.1 peratus. 

- CNA/NA/na

Top