Images
  • haron satay
    Gerai Haron Satay di acara Urban Kampung. (Gambar: Facebook/ Haron Satay 55)

Haron Satay dinobat 'Satay Masters'

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Negara Dr Maliki Osman menyaksikan penjual sate Haron Satay dinobatkan sebagai sate terbaik dalam kejuaraan 'Ultimate Satay Challenge' pada malam Sabtu (22 Okt).

Selain meraih gelaran 'Satay Masters' Haron Satay juga dipilih sebagai menyajikan daging sate terbaik.

Gelaran sos sate terbaik dimenangi Jamil Saté Classic.

Cabaran itu diadakan sempena acara Urban Kampung di Queen Elizabeth Walk, tapak lama Satay Club di Esplanade Park, semalam.

Acara anjuran Gerakan Berbudi Singapura (SKM) bertujuan memupuk pemahamaan yang mendalam tentang budaya Melayu/Islam melalui masakan dan kegiataan yang menyeronokkan.

Ia diadakan dengan kerjasama Halalfoodhunt.com dan ieatishootipost.

Para pengunjung mengundi sate kegemaran mereka selain dapat mengenang kembali zaman silam sewaktu menjamu selesa di tepi sungai.

Turut diadakan sesi perkongsian tentang budaya Melayu/Islam serta peluang menghidupkan semula permainan lama seperti batu serembat, capteh dan gasing.

"Kita sudah fikirkan untuk menghasilkan suatu resipi yang kreatif, tetapi akhirnya kita tetap dengan elemen tradisional kita - dengan ketupat, resipinya seperti biasa, seperti mana kita lakukan 40 tahun dahulu," kata Pemilik Bersama Haron Satay Nor Shima.

"Saya harap akan menjadi satu titik permulaan sekali lagi, di mana lebih ramai rakyat Singapura, anak-anak muda kita sama-sama menikmati keindahan makanan seperti sate dan menyepadukan lagi perpaduan antara kaum di Singapura," ujar Dr Maliki. 

- BERITAMediacorp/ru

Top