Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hari Penglihatan Sedunia: Herlina Senan buta sebelah mata, tapi bukan tidak berupaya

Hari ini ialah Hari Penglihatan Sedunia dengan peringatan kepada masyarakat agar jangan abaikan kesihatan mata.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hari ini ialah Hari Penglihatan Sedunia dengan peringatan kepada masyarakat agar jangan abaikan kesihatan mata.

Dalam laporan ini, BERITAMediacorp mengajak anda meraih inspirasi daripada seorang ibu yang membuktikan bahawa cacat penglihatan, bukanlah halangan untuk mencari pendapatan.

TEKAD TANPA CACAT CELA

Troli-troli yang berada di hadapannya menjadi saksi pencapaian terbesar seorang Shopper Bee atau pembeli-belah yang memenuhi pesanan khusus empat orang pelanggan dengan permintaan berbeza-beza dan masa terhad.

Pencapaian itu luar biasa kerana Herlina Senan hanya boleh melihat dengan sebelah mata.

"Pada saya, satu jam itu tidak cukup sebenarnya. Kita memerlukan masa lebih. Lebih kurang dua jam," kata Cik Sarima Rahmat, seorang pembeli-belah honestbee.

"Matlamat saya adalah untuk memastikan semua pelanggan mendapat pesanan mereka dengan betul dalam waktu yang cepat. Sebagai seorang ibu yang bekerja, saya tahu masa itu penting dan saya tahu ibu-ibu yang lain kesibukan," kata Cik Herlina Senan, juga seorang pembeli-belah honestbee.

KURANG DAYA LIHAT, TAPI MAHIR TEKNOLOGI

Meskipun kurang daya penglihatan pada sebelah mata, ini tidak menghambat tekad Cik Herlina untuk menguasai teknologi dan aplikasi telefon bimbit yang diperlukan dalam tugas beliau.

"Saya mempunyai sikap yang tidak putus asa dan saya kata pada diri saya, walaupun saya dapat melihat dengan satu mata, saya rasa bersyukur saya diberikan peluang untuk melihat dan juga bekerja.

Saya rasa kalau saya yang mempunyai satu mata boleh bekerja, saya rasa InsyaAllah orang lain pun boleh juga bekerjalah," jelas Cik Herlina.

Berbekalkan semangat kental ini beliau juga tabah membesarkan salah seorang anaknya yang dilahirkan kurang daya penglihatan.

HARAPAN IBU BAGI ANAKNYA

"Saya berharap anak saya nanti, akan datang dia mempunyai sikap yang positif. Mungkin dia dapat mencapai lebih besar daripada saya?" luah Cik Herlina.

Yang pasti, bagi orang seperti Cik Herlina, kurang daya upaya bukan penghalang baginya untuk terus berusaha.

"Keazaman Herlina dan kesungguhan sewaktu dia bekerja benar-benar memberi inspirasi kepada kita semua di tempat kerja. Herlina seorang yang ceria dan dia seorang yang positif walaupun dia hanya dapat melihat dengan sebelah mata. Lagipun Herlina ini orangnya suka membantu bila di tempat kerja," kongsi Cik Sarima tentang temannya itu.

IBU CACAT PENGLIHATAN LUAH HARAPAN
Hari ini, dalam menyambut Hari Penglihatan Sedunia, apa pula harapan Cik Herlina?

Apakah yang beliau mahukan daripada masyarakat?

"Saya harap orang seperti saya diberi lebih kesempatan. Jangan fikir kita kurang penglihatan tapi kita tidak boleh buat kerja seperti orang yang mempunyai dua biji mata untuk melihat dan buat kerja," jawab beliau.

Syarikat penyedia khidmat rencam honestbee komited menyokong golongan kurang upaya seperti Cik Herlina, memberi impak sosial dan kewangan yang positif dengan menyediakan sekitaran kerja yang inklusif.  

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan