Images
  • halimah yacob
    Cik Halimah Yacob mengambil Sijil Kelayakan di Jabatan Pilihan Raya. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Hari Penamaan Calon: Halimah Yacob serah borang pagi ini

SINGPURA: Cik Halimah Yacob akan menyerahkan borang-borangnya antara 11.00 pagi hingga tengah hari ini (13 Sep), langkah terakhir dalam proses beliau harus lalui sebagai calon presiden.

Beliau dijangka menjadi Presiden wanita pertama Singapura dan ketua negara Melayu yang pertama sejak lebih 47 tahun.

Ini selepas beliau satu-satunya individu yang layak bertanding dalam Pilihan Raya Presiden yang dijadualkan bulan ini.

Antara dokumen yang akan diserahkan beliau di ibu pejabat Persatuan Rakyat di King George's Avenue adalah sijil kelayakan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden, sijil masyarakat yang dikeluarkan Jawatankuasa Masyarakat dan sijil derma politik.

Cik Halimah mengambil sijil kelayakan beliau daripada Jabatan Pilihan Raya kelmarin.

Di bawah pindaan Perlembagaan yang berkuat kuasa pada Jun tahun ini, para pemohon harus menunjukkan bahawa mereka menerajui sesebuah syarikat dengan ekuiti pemegang saham sekurang-kurangnya $500 juta.

Permohonan Encik Salleh Marican dan Encik Farid Khan ditolak kerana mereka tidak memenuhi kriteria ini.

Cik Halimah memenuhi kriteria yang ditetapkan terhadap mereka yang berkhidmat dalam sektor awam selepas menyandang jawatan sekurang-kurangnya selama tiga tahun sebagai Speaker.

Memandangkan Pilihan Raya Presiden tahun ini dikhaskan bagi calon Melayu, mereka yang berhasrat menjadi calon juga perlu memohon sijil masyarakat Melayu daripada Jawatankuasa Masyarakat.

Menjelang tengah hari ini, wang cengkeram sebanyak S$43,500 juga perlu dibuat bagi pencalonan Cik Halimah.

PENGISYTIHARAAN SEBAGAI BAKAL PRESIDEN BARU

Jika dokumen-dokumen itu didapati teratur dan jika tiada bantahan, Pegawai Pilihan Raya akan mengisytiharkan Cik Halimah sebagai bakal Presiden baru pada 12.30 tengah hari.

Pegawai Pilihan Raya adalah Encik Ng Wai Choong, Ketua Eksekutif Penguasa Pasaran Tenaga.

Jika sesiapa yang ingin mengemukakan bantahan terhadap Cik Halimah menjadi Presiden, bantahan itu harus dibuat secara tulis, ditandatangani oleh pembantah itu dan dilakukan antara 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari pada Hari Penamaan Calon, menurut Jabatan Pilihan Raya.

Jika bantahan difailkan, Pegawai Pilihan Raya akan "tanpa berlengah memutuskan kesahan setiap bantahan dan memaklumkan calob berkenaan mengenai keputusannya", tambah Jabatan Pilihan Raya.

Jika Pegawai Pilihan Raya menolak sebarang bantahan, keputusan beliau adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dipersoalkan di sebarang mahkamah, kata seorang jurucakap.

Namun jika beliau menerima bantahan tersebut, keputusan beliau mungkin bergantung kepada syarat-syarat di bawah Akta Pilihan Raya Presiden.

Perincian mengenai upacara angkat sumpah akan didedahkan pada tarikh yang bakal ditetapkan. 

- CNA/RU/ru

Top