Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hampir 50 kedai gunting sokong kempen 'Dadah Itu Haram'

Usaha ini adalah sebahagian dari kempen 'Dadah Itu Haram' yang sebelum ini menyaksikan usaha seperti “Makan Lewat Malam” dan acara sahur di Rumah Kebajikan Muhammadiyah juga dijalankan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 50 kedai gunting merata negara kini menyahut seruan untuk menyebarkan mesej 'Dadah Itu Haram'.

Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri (MHA), Amrin Amin menyifatkan penyertaan kedai-kedai tersebut sebagai sumber antidadah penting kerana setiap kedai gunting dilanggani sekitar 30 orang sehari.

Ini bermakna, sekitar 50 kedai gunting tersebut berpotensi menyebarkan mesej antidadah kepada sekitar 10,000 orang setiap minggu.

Antara lain, tukang-tukang gunting tersebut akan mengedarkan risalah dan pelekat serta mesej antidadah di kedai masing-masing.

JANGAN TERKEJUT JIKA TUKANG GUNTING BERI NASIHAT ANTIDADAH

Kedai Daud's Creative Barber adalah antara 50 kedai gunting rambut di negara ini yang menyokong kempen 'Dadah Itu Haram'.

Malah, pemiliknya, Daud Basser sudah berpuluh tahun menyokong kerja-kerja anti-dadah sejak dari masa mantan Setiausaha Politik, Allahyarham Harun Ghani.

"Setiap kedai gunting macam-macam bilangan umur dan bangsa. Banyak yang keluar masuk. Dari situ, kita dapat membantu menyebarkan mesej dadah itu haram.

"Satu pelanggan akan duduk sekurang-kurangnya 15 minit. Dalam 15 minit itu, dia akan terpandang ini mesej. Mungkin kebaikan untuk dia sendiri dan mungkin kita harapkan dia sebarkan mesej ini kepada yang lain," ujar Encik Daud.

Penyebaran mesej secara bertali arus sedemikianlah, menurut Amrin Amin yang juga merupakan Setiausaha Parlimen Kesihatan (MOH), yang ingin beliau tekankan.

"Ini adalah satu usaha berterusan di mana kami juga akan sentiasa ada, sentiasa dekat di hati, sentiasa menghayati. Ini adalah satu permulaan di mana saya harap yang para individu, masyarakat dan ibu bapa akan mengambil berat dan juga mengeluarkan inisiatif-inisiatif mereka sendiri," kata Encik Amrin.

Encik Amrin bersama pemilik Daud's Creative Barber, Daud Basser. 

"TEMPAT MASYARAKAT" UNTUK BERBINCANG TENTANG DADAH

Kedai gunting rambut, ujar Encik Amrin merupakan satu "tempat masyarakat".

Maka itu, beliau amat berbesar hati dengan penyertaan ramai usahawan muda dalam gerakan ini seperti Encik Nor Iskandar Salleh, seorang tukang gunting dari Mr Snipper.

"Bagi saya kadang-kadang mereka yang terlibat dalam dadah ini jika ada orang tua yang menasihat, mereka tidak mendengar sangat. Jadi kita yang muda-muda kadang-kadang bagi nasihat kepadanya supaya mereka boleh lagi bersemangat untuk berubah," kongsi Encik Iskandar.

Encik Amrin juga berharap kedai-kedai gunting rambut ini boleh menjadi satu pencetus untuk masyarakat berbincang tentang najis dadah.

"Mereka di sini gunting rambut, tengok cermin, tengoklah mesej itu," tambah beliau.

Antara kedai-kedai lain yang terlibat dalam kempen ini termasuk kedai gunting hipster seperti Hombre Barberblade, Deep Cuts dan kedai gunting tradisional seperti Safarees The Barbershop.

Usaha ini adalah sebahagian dari kempen 'Dadah Itu Haram' yang sebelum ini menyaksikan usaha seperti “Makan Lewat Malam” dan acara sahur di Rumah Kebajikan Muhammadiyah juga dijalankan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan