Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Halimah Yacob sedang 'menimbangkan' bertanding dalam Pilihan Raya Presiden

Speaker Parlimen, Halimah Yacob, berkata pada Ahad (16 Julai) bahawa beliau sedang "menimbangkan" untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Jul 2017 01:10PM Dikemas Kini : 17 Jul 2017 12:25AM

SINGAPURA: Speaker Parlimen, Halimah Yacob, berkata pada Ahad (16 Julai) bahawa beliau sedang "menimbangkan" untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

"Saya sedang memikirkannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden," kata Cik Halimah kepada para wartawan di satu acara kemasyarakatan di Marsiling.

"EP (Presiden Dipilih) merupakan satu tanggungjawab yang berat dan adalah institusi penting di Singapura. Jadi, ia bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Tugas sebagai seorang Presiden juga amat berat. Saya telah memikirkannya dan saya memerlukan sedikit masa untuk memikirkannya lagi."

"Buat masa ini, saya mempunyai banyak tugas yang harus saya lakukan sebagai Speaker Parlimen, dan seorang Anggota Parlimen. Tugas-tugas tersebut amat penting bagi saya," tambah Cik Halimah.

"Saya perlu berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan kerja saya. Ia bukanlah satu keputusan yang boleh dibuat oleh saya sendiri," kata beliau kepada para wartawan.

Cik Halimah mengeluarkan komen-komen itu selepas Pengerusi Bourbon Offshore Asia Farid Khan Kaim Khan, 62 tahun, secara rasmi mengumumkan hasratnya untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya itu pada Selasa (11 Julai).

Menyusuli komen-komen Cik Halimah, Encik Farid Khan berkata: "Saya mengalu-alukan hasrat Cik Halimah untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden yang bakal diadakan."

Encik Farid menyandang jawatan sebagai pengerusi Bourbon Offshore Asia, sebuah syarikat penyedia khidmat marin. Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Encik Farid, syarikat itu menguruskan lebih 500 kapal pada tahun 2016. Syarikat itu juga menggajikan sekitar 9,300 kakitangan di 45 buah negara.

Encik Farid berkata, beliau yakin bahawa beliau layak bertanding sebagai seorang calon Melayu meskipun beliau dikenal pasti sebagai berketurunan 'Pakistan' di dalam kad pengenalannya. Di bawah pindaan pada Pilihan Raya Presiden, para calon akan dinilai oleh Jawatankuasa Masyarakat sama ada mereka benar-benar berasal dari sesebuah masyarakat tertentu.

CEO Second Chance Properties, Mohamed Salleh Marican, 67 tahun, turut mengumumkan hasrat beliau untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Pilihan Raya Presiden tahun ini, yang dikhususkan bagi para calon Melayu, akan diadakan pada bulan September.

Tempoh permohonan bagi sijil Pilihan Raya Presiden 2017 dibuka pada 1 Jun.

Ia ditutup lima hari selepas writ pilihan raya dikeluarkan pada bulan Ogos, menjelang pilihan raya pada September ini.

Para calon mesti mendaftarkan diri kepada Jawatankuasa Masyarakat bagi mendapatkan sijil masyarakat Melayu.

Jawatankuasa kecil masyarakat Melayu, yang dipengerusikan oleh mantan Anggota Parlimen Dilantik Imram Mohamed, kemudian akan menilai permohonan itu.

Para pemohon akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan mereka sebelum Hari Penamaan Calon.

Presiden Tony Tan Keng Yam akan menamatkan tempoh khidmatnya sebagai Presiden pada 31 Ogos.

Pemangku Presiden boleh memainkan peranan sebagai Presiden di bawah undang-undang negara ini, dari 1 September sehingga Presiden baru Singapura menyandang jawatan tersebut. 

Sumber : CNA/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan