Images
  • halimah yacob
    Halimah Yacob. (Gambar: Jason Quah/TODAY)

Halimah sebagai pemimpin negara maju boleh ubah tanggapan negatif terhadap wanita & Islam - Parti AMANAH

SINGAPURA: Kemunculan Halimah Yacob, dengan imej Muslimah sebagai pemimpin sebuah negara yang maju boleh membantu mengubah tanggapan negatif terhadap wanita dan Islam.

Demikian menurut Anggota Parlimen AMANAH Kota Raja, Malaysia yang juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud, dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (13 Sep).

Menerusi kenyataan media itu, AMANAH dan AWAN mengucapkan tahniah kepada Halimah Yacob dan Singapura setelah berjaya mencipta sejarah penting dengan "mengangkat seorang wanita sebagai Presiden".

Dr Siti Mariah berkata sejarah itu tidak akan tercipta jika mutu demokrasi tidak dilaksanakan dengan berkesan dan tanpa sistem meritokrasi yang membuka peluang kepada semua kaum dan agama untuk mencapai kejayaan.

Beliau menambah, golongan wanita dari seluruh dunia sudah tentu berbangga dengan pencapaian itu dan mengharapkan agar Cik Halimah boleh membentuk satu model pentadbiran negara yang bercitra kewanitaan, yang menekankan keharmonian dan kestabilan.

"Sudah tentu, pencapaian ini juga akan memberi inspirasi kepada lebih ramai golongan wanita untuk menyertai bidang politik dan kepimpinan peringkat nasional," tambah Dr Siti Mariah.

- BERITAMediacorp/nk

Top