Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Halimah: Masyarakat perlu jalani 'revolusi minda' bagi tangani perubahan

Speaker Parlimen Halimah Yacob berkata masyarakat perlu merubah cara mereka berfikir, atau menjalani satu ‘revolusi minda’.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Feb 2017 08:34PM Dikemas Kini : 26 Feb 2017 10:39PM

SINGAPURA: Speaker Parlimen Halimah Yacob berkata masyarakat perlu merubah cara mereka berfikir, atau menjalani satu ‘revolusi minda’ bagi menangani pelbagai perubahan yang dibawa oleh globalisasi dan teknologi.

Beliau juga menggesa mereka supaya sentiasa bersedia mempelajari kemahiran baru dan kekal fleksibel dalam mengharungi keadaan ekonomi yang kian berubah.

Cik Halimah yang juga AP bagi GRC Marsiling-Yew Tee berkata demikian di satu pameran kerja semalam (25 Feb) di Kelab Masyarakat Fuchun.

TUKAR HALUAN SELEPAS 5 TAHUN

Selepas lima tahun berkecimpung dalam bidang penjualan dan pemasaran, Cik Norhayati Mido, 34 tahun, ingin mencuba nasib pula dalam bidang niaga online.

Dengan memanfaatkan kredit SkillsFuture, beliau membuat persediaan dengan menghadiri beberapa kursus seperti Perkhidmatan Cemerlang serta kursus Pengurusan Manusia, yang dijalankan Mendaki SENSE.

"Saya dah lama sebenarnya berminat dalam perniagaan secara online, sejak kecil lagi. Cuma saya belum tahu bagaimana nak mulakan, cara apa, risiko apa sepertinya.

"Dari situ saya diperkenalkan khusus kepimpinan dan pengurusan manusia dan saya belajar tentang strategi, analisis pasaran serta trend pasaran," kata Cik Norhayati.

PERUBAHAN SATU KEPERLUAN BUKAN PILIHAN

Bagi Cik Intan Ridha Handayani pula, perubahan yang perlu dijalaninya bukanlah satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.

Pemergian suaminya beberapa bulan lalu meninggalkan suri rumahtangga ini dengan empat orang anak yang masih perlu disara.

"Saya perlukan kerja cepat disebabkan suami saya baru meninggal, dan Alhamdulilah pihak Mendaki Sense telah memberikan saya pekerjaan secepat mungkin, kurang daripada sebulan," luah beliau.

Menerusi pameran kerja itu, para penduduk seperti Cik Norhayati dan Cik Intan didedahkan kepada lebih 1,000 peluang pekerjaan baru, dalam bidang-bidang seperti logistik, runcit dan juga F&B.

MESEJ SEBENAR ADALAH PENTINGNYA TINGKATKAN KEMAHIRAN

Namun mesej sebenar yang ingin disampaikan ialah mengenai peri pentingnya meningkatkan kemahiran menerusi pelbagai inisiatif SkillsFuture.

"Jadi yang penting juga bukan sahaja sekadar mendapatkan pekerjaan bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran, ada juga kursus-kursus dan program-program lain yang dapat membantu mereka untuk memperbaiki kedudukan mereka, mempertingkatkan kemahiran mereka, memperbaiki kebolehan mereka untuk mendapatkan pekerjaan," kata Cik Halimah Yacob.

Cik Halimah juga menggesa rakyat supaya terus memanfaatkan kredit SkillsFuture bagi memperbaiki kemahiran mereka dan mendapatkan pekerjaan lebih baik.

Menyentuh kes salah guna kredit SkillsFuture baru-baru ini, di mana 4,400 tuntutan palsu dibuat, Cik Halimah berkata orang ramai sepatutnya tahu bahawa manfaat itu diberikan bagi tujuan membangunkan diri masing-masing, dan tidak seharusnya disalah gunakan.

Lebih 400 orang menghadiri pameran kerja, 'Making SENSE of SkillsFuture' yang dianjurkan bersama oleh Mendaki SENSE dan Jawatankuasa Perundingan Rakyat Marsiling. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan