Images
  • xinmin teacher
    (Gambar: Petikan skrin dari video Facebook)

Guru Sekolah Rendah Xinmin disahkan sebagai suspek rakam video bawah skirt

SINGAPURA: Sekolah Rendah Xinmin mengesahkan bahawa salah seorang daripada gurunya adalah lelaki yang seperti merakam video bawah skirt seorang penumpang dalam kereta api MRT.

Tindakan lelaki itu turut dirakam di kamera.

Dalam emel kepada Mediacorp pada Isnin (17 Jul), Naib Pengetua sekolah tersebut, Encik Clement Lee berkata lelaki berkenaan adalah seorang "guru permulaan" yang ditempatkan di sekolah itu pada 13 Jun 2016.

Dalam video yang dimuat naik ke laman Facebook, guru tersebut - yang memakai seluar pendek berwarna hitam dan kemeja T berwarna merah jambu - dilihat sedang bermain dengan telefonnya sebelum meletakkannya di atas sebuah beg (duffel bag) miliknya.

Beg itu kemudian diturunkan ke bahagian lututnya.


Insiden tersebut berlaku di dalam kereta api di Laluan Circle. Sedang kereta api itu bergerak dari stesen MacPherson ke Paya Lebar, seorang wanita berjalan dan berdiri di belakangnya.

Lelaki itu kemudian dilihat meletakkan begnya lebih hampir dengan kaki wanita itu, dengan telefonnya diletakkan di atas beg tersebut.

Polis mengesahkan sebuah aduan sudahpun dibuat dan bahawa siasatan sedang diteruskan.

"Keselamatan pelajar kami menjadi keutamaan kami," dedah Naib Pengetua Sekolah Rendah Xinmin.

"Kes tersebut sedang disiasat oleh polis dan guru itu kini sedang mengambil cuti."

- CNA/im

Top