Images
  • grace fu pap wing
    Menteri MCCY dan Pengerusi Sayap Wanita PAP, Cik Grace Fu.

Grace Fu: Aktivis wanita perlu lakukan lebih lagi bagi perjuangkan kepentingan wanita

SINGAPURA: Para aktivis wanita mampu dan sepatutnya melakukan lebih banyak lagi demi memperjuangkan kepentingan kaum wanita di Singapura.

Demikian ditekankan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Grace Fu di sidang tahunan Sayap Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diadakan hari ini.

Beliau berkata wanita boleh menjadi sumber pertumbuhan ekonomi serta idea-idea perniagaan inovatif.

Namun, mereka menerima kurang perhatian dan peluang untuk membina rangkaian dalam dunia perniagaan.

Pakaian kanak-kanak yang digayakan dengan dua cara berbeza dan boleh diterbalikkan adalah hasil gagasan seorang usahawan wanita tempatan, Suhana AB.

Walaupun jenamanya baru berusia dua tahun, beliau sudahpun merancang untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan bantuan teknologi.

Wawasan tinggi yang dimiliki Suhana itulah yang ingin digalak Sayap Wanita PAP.

Di sidang tahunannya hari ini (15 Jul), Pengerusinya Grace Fu menggesa para aktivis wanita supaya terus memperjuangkan kepentingan para wanita di Singapura - menyifatkan mereka sebagai "telinga dan mata" dalam kalangan masyarakat.

"Kita harus terus menjadi suara bagi wanita Singapura - memperjuang dan mempertahankan kes kita dengan semangat padu, fakta serta kecekalan. Kita harus sentiasa mendampingi, mendekati dan membina rangkaian dengan wanita dari seluruh lapisan masyarakat," kata Cik Grace Fu.

Melangkah ke hadapan, Cik Fu berkata Sayap Wanita PAP perlu bekerja dengan lebih keras bagi mengatasi cabaran-cabaran sedia ada.

Ini boleh dilakukan dengan membangunkan saranan-saranan dasar yang wajar serta inisiatif baru.  

- CNA/im

Top