Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GDP S'pura tumbuh 4.6% dalam suku ketiga; dipacu sektor pengilangan

Pertumbuhan kukuh bagi sektor pengilangan membantu ekonomi Singapura berkembang 4.6 peratus dalam suku ketiga berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Oct 2017 10:17AM Dikemas Kini : 13 Oct 2017 09:39PM

SINGAPURA: Pertumbuhan kukuh bagi sektor pengilangan membantu ekonomi Singapura berkembang 4.6 peratus dalam suku ketiga berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ini menurut perangkaan awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) hari ini (13 Okt).

Perangkaan ini lebih tinggi daripada ramalan median iaitu 3.8 peratus berdasarkan tinjauan Reuters dan lebih tinggi berbanding pertumbuhan 2.9 peratus dalam suku kedua.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku , hasil dalam negeri kasar (GDP) meningkat 6.3 peratus bagi tempoh antara Julai hingga September. Ini menjangkaui unjuran 3.2 peratus dalam tinjauan Reuters.

Perangkaan pertumbuhan terkini juga menunjukkan peningkatan 2.4 peratus berbanding suku sebelum ini.

Sektor pengilangan kekal sebagai sektor yang terus maju, dengan pertumbuhan sebanyak 15.5 peratus berdasarkan perbandingan suku yang sama pada tahun lalu, peningkatan lebih pantas berbanding suku sebelum nya iaitu 8.2 peratus.

Pertumbuhan itu didorong perkembangan yang kukuh dalam kelompok elektronik, pengilangan bioperubatan dan kejuruteraan jitu.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku pula, sektor itu berkembang dengan lebih pantas iaitu pada 23.1 peratus berbanding 3.2 peratus dalam suku sebelumnya.

Industri perkhidmatan tumbuh 2.6 peratus dalam suku ketiga berbanding setahun lalu, naik 0.1 peratus dari perangkaan suku sebelumnya. Kenaikan ini didorong sektor kewangan dan insurans, perdagangan borong dan runcit, serta pengangkutan dan sektor penyimpanan.

Berdasarkan laporan tahunan yang disesuaikan mengikut musim, ia tumbuh 1.5 peratus (suku-ke-suku), iaitu perkembangan lebih sederhana daripada pertumbuhan 3.3 peratus pada suku sebelumnya.

Sektor binaan terus mengalami penguncupan. Ia merosot sebanyak 6.3 peratus pada suku ketiga, dengan penurunan 6.8 peratus pada suku sebelumnya. Ini disebabkan kurangnya kegiatan binaan sektor swasta.

Sejak tiga bulan lalu, sektor tersebut turun 9.2 peratus, berbanding pertumbuhan 2.4 peratus pada suku sebelumnya.

MTI akan mendedahkan perangkaan GDP untuk suku ketiga, termasuk prestasi pelbagai sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, pekerjaan dan daya penghasilan, dalam Tinjauan Ekonomi Singapura pada bulan November.

Pada bulan Ogos, pemerintah menganggarkan pertumbuhan tahunan ekonomi Singapura antara 2 hingga 3 peratus berbanding unjuran 1 hingga 3 peratus sebelumnya. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan