Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GDP 2017 S'pura disemak kepada 2-3%; suku kedua catat peningkatan 2.9%

Ramalan pertumbuhan tahun ini bagi ekonomi Singapura sudahpun disemak kepada 2 hingga 3 peratus, berbanding antara 1 dengan 3 peratus sebelum ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Aug 2017 10:03AM Dikemas Kini : 11 Aug 2017 10:50PM

SINGAPURA: Ramalan pertumbuhan tahun ini bagi ekonomi Singapura sudahpun disemak kepada 2 hingga 3 peratus, berbanding antara 1 dengan 3 peratus sebelum ini.

Ini menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Jumaat (11 Ogos) selepas data mendedahkan ekonomi kian tumbuh lebih pesat daripada yang dijangkakan pada suku kedua.

Berbanding setahun lalu, Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura tumbuh sebanyak 2.9 peratus dalam tiga bulan sehingga Jun.

Perangkaan ini mengatasi kedua-dua ramalan awal suku kedua dan pertumbuhan suku pertama, yang mencatat pertumbuhan sebanyak 2.5 peratus berbanding tahun lalu.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, ekonomi negara berkembang sebanyak 2.2 peratus bagi tempoh dari April hingga Jun, jauh lebih tinggi berbanding ramalan awal yang menjangkakan 0.4 peratus dan bangkit dari penguncupan sebanyak 2.1 peratus pada suku pertama.

Sektor pengilangan terus mencatat prestasi cemerlang, dengan pertumbuhan pesat sebanyak 8.1 peratus berbanding suku kedua tahun lalu, selepas meningkat sebanyak 8.5 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan itu sebahagian besarnya didorong oleh kelompok elektronik dan kejuruteraan jitu, yang dipacu oleh permintaan kukuh global bagi semikonduktor dan perkakas yang berkaitan dengan semikonduktor.

Sehubungan itu, kelompok pengilangan bioperubatan, pengilangan am dan kejuruteraan pengangkutan mengalami penurunan bagi pengeluaran.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, sektor pengilangan naik sebanyak 2.9 peratus, sekaligus berkembang pesat daripada pertumbuhan sebanyak 0.3 peratus pada suku sebelum ini.

Bagi sektor-sektor lain pula, perdagangan borong dan runcit, kewangan dan insurans serta sektor khidmat perniagaan kesemuanya mencatat pertumbuhan pesat berbanding suku kedua tahun lalu.

Sektor binaan, bagaimanapun, kekal menguncup disebabkan penurunan pada pengeluaran binaan bagi kedua-dua sektor awam dan privet.

PERTUMBUHAN GLOBAL DIJANGKA NAIK PADA 2017: MTI

Ramalan bagi ekonomi global kekal stabil sejak beberapa bulan lalu, dengan pertumbuhan global dijangka meningkat pada tahun ini berbanding tahun lalu, dedah MTI dalam kenyataan medianya.

Momentum pertumbuhan juga dijangka kekal pada separuh kedua tahun ini, sebahagian besarnya didorong oleh permintaan domestik.

Bagi tahun 2017 secara keseluruhannya, ekonomi Amerika Syarikat dijangka tumbuh pada rentak lebih pantas berbanding tahun 2016.

Sementara itu, ekonomi zon Euro turut dijangka kekal stabil dan terus tumbuh bagi tahun ini, dengan peningkatan pada keadaan pasaran buruh.

Sentimen perniagaan dan pengguna yang lebih baik serta dasar kewangan yang mudah disesuaikan juga dijangka merangsang permintaan domestik.

Oleh itu, pertumbuhan di zon Euro dijangka bangkit sedikit pada tahun 2017 berbanding tahun 2016, menurut MTI.

Di Asia, pertumbuhan China dijangka kurang sedikit pada separuh kedua tahun 2017, menyusuli pertumbuhan lebih kukuh pada separuh pertama tahun ini.

Secara khususnya, pelaburan sebenar dijangka perlahan bagi tahun ini. Bagaimanapun, eksport dijangka kekal meningkat, selepas kebangkitan pada permintaan luar baru-baru ini dijangka kekal hingga ke separuh kedua tahun ini, sekaligus menyokong pertumbuhan GDP.

Di Asia Tenggara pula, pertumbuhan bagi ekonomi Indonesia dan Malaysia diramal kekal kukuh bagi suku-suku lain tahun ini, didorong oleh permintaan sihat domestik dan peningkatan eksport perdagangan dijangka dapat terus ditampung.

Bagaimanapun, risiko seperti sentimen anti-globalisasi yang boleh menjejas perdagangan global mungkin akan berlarutan. Risiko politik global dan ketidaktentuan dasar juga ditingkatkan, sekaligus mencerminkan sedikit sebanyak ketidaktentuan dasar pentadbiran Amerika Syarikat dan rundingan untuk keluar dari Kesatuan Eropah yang berpanjangan.

Pada masa yang sama, bagi peringkat lanjutan pengembangan ekonomi Amerika Syarikat, dasar kewangan boleh kembali normal lebih awal dari yang dijangkakan, lantas menyebabkan keadaan kewangan global lebih diperketatkan dari yang dijangkakan.

Juga terdapat risiko bagi usaha menarik balik kredit yang lebih curam di China sedang usaha-usaha mengawal risiko dalam sistem kewangan diteruskan.

Bagaimanapun, potensi risiko bagi impak ketara terhadap pertumbuhan global pada tahun ini sudah berkurangan berbanding tiga bulan lalu.

Sektor pengilangan itu juga dijangka menyediakan sokongan kepada ekonomi Singapura bagi separuh kedua tahun ini. Secara khususnya, prestasi kukuh bagi kelompok elektronik dan kejuruteraan jitu dijangka kekal bagi separuh kedua tahun ini, didorong oleh permintaan global bagi peralatan semikonduktor dan yang berkaitan semikonduktor, meskipun rentak pertumbuhan mungkin disederhanakan memandangkan kesan asas yang kurang disenangi.

Sehubungan itu, sektor khidmat yang lebih bersifat luaran seperti pengangkutan dan simpanan, sektor perdagangan borong dan kewangan & insurans dijangka memanfaatkan kebangkitan perdagangan global.

Pada masa yang sama, sektor infokom dan pendidikan serta kesihatan & khidmat sosial dijangka terus berdaya saing.

Selain itu, prestasi sektor binaan djangka terus hambar, disebabkan kelemahan berterusan dalam kegiatan binaan sektor privet dan awam.

Dengan mengambil kira persekitaran ekonomi global dan domestik, serta pertumbuhan GDP sebanyak 2.7 peratus yang dicapai pada separuh pertama tahun ini, ramalan pertumbuhan bagi tahun ini untuk ekonomi Singapura sudahpun disemak kepada 2 hingga 3 peratus berbanding antara 1 dengan 3 peratus sebelum ini.

Tanpa mengambil kira hasil yang tidak dijangka dalam ekonomi global dan sektor utama dalam ekonomi domestik sehingga hujung tahun ini, MTI mendedahkan ia menjangkakan pertumbuhan GDP bagi tahun ini akan mencatat paras sekitar 2.5 peratus.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan