Images
  • starhub (1)
    Sebuah pejabat syarikat telko tempatan StarHub.

Gangguan khidmat StarHub tahun lalu bukan kerana serangan DDoS

SINGAPURA: Serangan siber yang dipanggil sebagai DDoS, bukan punca gangguan khidmat jalur lebar gentian Starhub pada Oktober lalu.

Demikian menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) hari ini (21 Apr).

Sebaliknya, IMDA menyatakan siasatan bersama yang dilakukan dengan Agensi Keselamatan Siber (DSA) mendapati, dua gangguan khidmat itu disebabkan trafik yang naik mendadak di Sistem Pelayan Nama Domain (DNS) yang sah dan tidak dapat ditangani prasarana syarikat telko tempatan itu.

StarHub diberi amaran ekoran insiden-insiden itu dan diarahkan untuk melantik pakar bebas bagi menilai DNSnya dan prasarana berkaitan yang lain.

Ini bagi memastikan rangkaiannya terlindung daripada insiden yang sama pada masa depan.

Seorang jurucakap StarHub menambah syarikat telko itu memasang peralatan baru bagi "sebilangan kecil pelanggan" yang alat-alat rumah mereka dikenal pasti menjana corak trafik data yang luar biasa semasa kedua-dua insiden.

TEORI DDOS DITOLAK

Hasil siasatan IMDA dan CSA itu menolak dapatan sebelum ini oleh StarHub bahawa gangguan itu disebabkan serangan siber yang berpunca dari peralatan pelanggannya yang sudahpun dicerobohi.

StarHub pada masa itu menyatakan peralatan itu menyebabkan berlakunya "trafik haram" yang mengakibatkan serangan DDoS.

Ia mengalami serangan tersebut sebanyak dua kali dalam masa dua hari.

Bagaimanapun, IMDA menyatakan siasatan itu merumuskan petanda-petanda biasa serangan DDoS tidak dapat dikesan.

Gangguan itu, sebenarnya berlaku kerana beberapa faktor seperti peningkatan dalam penggunaan Internet pada hujung minggu, laman Web yang dibuka semula berulang kali, dan trafik yang berlebihan oleh pemilik domain di Amerika Syarikat, menurut IMDA. 

- CNA/ru

Top