Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Forum peringkat tinggi S'pura, China berlangsung di Beijing hari ini

Majlis Kerjasama Dua Hala (JCBC) - forum dua hala peringkat tertinggi antara Singapura dan China - diadakan pada Isnin (27 Feb) di Beijing.

Anggaran Waktu Membaca:
Forum peringkat tinggi S'pura, China berlangsung di Beijing hari ini

Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean bersama Naib Perdana Mneteri China, Zhang Gaoli di Beijing pada 27 Feb. (Gambar: Jeremy Koh)

Diterbitkan : 27 Feb 2017 10:53AM Dikemas Kini : 27 Feb 2017 06:11PM

SINGAPURA: Majlis Kerjasama Dua Hala (JCBC) - forum dua hala peringkat tertinggi antara Singapura dan China - diadakan pada Isnin (27 Feb) di Beijing.

Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Beijing bermula Ahad atas undangan Naib Perdana Menteri China Zhang Gaoli. Kedua-dua pemimpin tersebut juga merupakan pengerusi bersama JCBC, yang menyediakan platform untuk membincangkan cara-cara mengukuhkan lagi kerjasama antara Singapura dan China.

Ini adalah mesyuarat JCBC yang ke-13 diadakan setiap tahun sejak 2004, kecuali tahun lalu. Mediacorp difahamkan bahawa mesyuarat itu terpaksa ditunda kerana Naib Perdana Menteri Zhang perlu menghadiri mesyuarat penting.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Pejabat Perdana Menteri menyatakan bahawa mesyuarat itu adalah selaras dengan perjanjian antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden China Xi Jinping pada 2015, bagi menjalin "kerjasama menyeluruh" yang berkembang mengikut peredaran masa.

Selain JCBC, Encik Teo juga akan mempengerusikan beberapa mesyuarat lain dengan Encik Zhang bagi tiga projek antara Pemerintah Singapura dan China, seperti Taman Perindustrian Suzhou dan Bandar Eko Tianjin.

Kedua-dua pemimpin akan menyemak kemajuan yang dicapai bagi ketiga-tiga projek tersebut dan membincangkan hala tuju kerjasama dua hala masa depan, menurut Pejabat Perdana Menteri. Beberapa perjanjian juga dijangka akan dimeterai.

Encik Teo diiringi oleh sebuah delegasi peringkat tinggi termasuk tujuh orang menteri. Antaranya ialah Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan) Lim Hng Kiang, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu dan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

Sepanjang lawatan tiga hari itu, Encik Teo juga akan mengadakan mesyuarat dengan para pemimpin China yang lain. Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan masyarakat rakyat Singapura melalui Dialog Menteri yang dianjurkan oleh Kedutaan Singapura di Beijing dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura di China (SingCham), yang akan menyambut ulang tahunnya yang ke-15.

Sumber : CNA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan