Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Forbes: S'pura maju meskipun bukan negara kebajikan

Lebih daripada pencapaian dari segi ekonomi, Singapura dikagumi kerana tidak bergantung kepada model negara kebajikan seperti yang dilihat di negara-negara Eropah.

Anggaran Waktu Membaca:
Forbes: S'pura maju meskipun bukan negara kebajikan

Latar langit Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 03 Apr 2015 07:34PM Dikemas Kini : 03 Apr 2015 07:37PM

SINGAPURA: Lebih daripada pencapaian dari segi ekonomi, Singapura dikagumi kerana tidak bergantung kepada model negara kebajikan seperti yang dilihat di negara-negara Eropah.

Dan itulah, menurut pengamatan majalah terkenal, Forbes, merupakan warisan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, hasil wawasan dan kebijaksanaannya yang sungguh menyerlah sekali.

Pengamatan Forbes disorot oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam catatan di Facebook beliau, petang tadi.

Sambil mengongsi artikel Forbes itu dalam Facebooknya, PM Lee berkata: "Artikel Forbes yang mengamati warisan mendiang Encik Lee ini menyorot kejayaan Singapura, yang terus maju meskipun mengambil pendekatan alternatif kepada negara kebajikan."

Beliau menambah bahawa ayahnya, mendiang Encik Lee, dahulu menulis di ruangan dalam majalah Forbes.

PM Lee berkata, kita bergantung kepada persaingan pasaran bebas, namun setiap rakyat dijamin mempunyai pendidikan, jagaan kesihatan, perumahan dan persaraan yang baik.

"Kita semua harus bekerja keras dan menyimpan wang untuk diri sendiri dan keluarga kita, namun tiada sesiapa yang dibiarkan ketinggalan," ujar beliau.

PM Lee selanjutnya berkata bahawa pemerintah berusaha menghasilkan ekonomi yang bertenaga dan mewujudkan pekerjaan-pekerjaan yang baik.

"(Pemerintah) membangunkan jaringan keselamatan sosial yang berkesan dan dimampui. Namun, ia mengelak daripada menggadai masa depan kita, dan membebani generasi anak-anak kita dengan hutang yang menggunung.

"Kami sedang mengukuhkan jaringan-jaringan keselamatan sosial kita, dengan MediShield Hayat, Skim Ihsan Senja, dan lain lagi.

"Tapi janganlah kita terlupa bahawa kita bukan membuang sistem yang tidak baik, tetapi sebaliknya, mempertingkatkan lagi sistem yang baik."

Dalam artikelnya, majalah Forbes menulis: "Singapura sudah melakukan sesuatu yang lebih mengagumkan berbanding pencapaian-pencapaiannya dari segi ekonomi.

"Ia sudah membangunkan sebuah negara yang menggunakan model alternatif berbanding model negara kebajikan yang dilihat di Eropah.

"Fikirkanlah sebab-sebab mengapa rakyat meminta bantuan daripada pemerintah di negara-negara maju - wang persaraan, perumahan, pendidikan dan jagaan perubatan. Di Singapura, rakyat dikehendaki menyimpan wang, untuk memenuhi keperluan-keperluan ini." 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan